
Oleh ZULHAIDI MANSOR
RAWANG, SELANGOR: Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Bandar Tasik Puteri di sini bertekad ingin melahirkan generasi soleh, pintar, Rabbani dan murrabi dengan ilmu akademik yang baik di samping hubungan dengan Allah S.W.T. diterapkan yang seterusnya dapat diterapkan masing-masing kepada keluarga mereka.
Pengetua SRITI Bandar Tasik Puteri, Ustaz Mohamad Rabbani Umar berkata, murid-murid di SRITI sudah diterapkan adab-adab dan nilai-nilai yang tidak ditemui di tempat lain bagi melahirkan pelajar yang soleh.
“SRITI merupakan kesinambungan daripada pembelajaran di tadika Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI). Sebagai contohnya di PASTI, pelajar menghafaz surah Al-Mulk, As-sajjadah dan seterusnya apabila mereka melanjutkan pelajaran di SRITI, pelajar akan menyambung hafalan mereka daripada PASTI dan tidak terhenti, yang mana ia berjalan seiring seperti yang diharapkan.
“Di sini, aktiviti harian pelajar bermula jam 8 pagi sehingga 4 petang yang dimulakan dengan Halaqah Al Quran, sarapan dan makan tengah hari.
“Pada waktu tengah hari, kita amalkan sunnah nabi dengan berehat selama 30 minit sebelum zuhur. Waktu Qailullah (tidur siang) adalah selama beberapa minit sebelum masuk waktu solat Zuhur dan kita wajibkan anak-anak solat Asar terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah masing-masing,” ujarnya kepada HarakahDaily ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, antara keistimewaan di SRITI ialah sistem Islamic Behavior Development (IBD) iaitu setiap murid diberikan tugasan pada setiap pagi sebelum memulakan kelas.
Murid akan diberikan tugasan seperti menyusun meja, kerusi serta mencuci tempat berwuduk yang mana mereka diterapkan nilai-nilai kebertanggungjawaban.
Selain itu katanya, pelajar diajar silibus tarbiah sebagai contoh pada setiap Jumaat di sebelah petang akan diadakan usrah secara kecil-kecilan dan setiap murid akan terlibat, yang mana mereka diberi ruang untuk memberikan pandangan dan pendapat berkaitan kisah-kisah nabi atau tokoh-tokoh Islam.

Menurutnya, pelajar diterapkan elemen adab-adab seperti adab dengan ibu bapa, adab dengan masyarakat dan sebagainya, yang mana setiap guru akan menjaga 10 orang murid untuk usrah masing-masing.
Di samping itu katanya, program yang sering dilaksanakan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti Qiamullail iaitu ada kolaborasi dengan masjid di sekitar awasan Bandar Tasik Puteri diadakan sebulan sekali yang telah diadakan sejak 2018 itu, kini telah kembali diadakan.
“Terdapat juga program yang membawa murid ke luar sekolah yang dinamakan Program Kembara Tarbawi”
“Kita bawa murid-murid ke negeri-negeri lain seperti negeri Perak dan Kelantan. Kita melawat SRITI di negeri-negeri lain dan bertukar-tukar pandangan. Kita terapkan hubungan anak-anak dengan masyarakat. Contohnya di Perak kita ke Sungkai, kita bawa anak-anak bersama masyarakat Orang Asli agar mereka dilatih sejak kecil,” katanya.

Tambahnya, pelajar SRITI diterapkan ilmu hafazan Al Quran yang konsepnya setiap guru akan memegang 10-12 orang murid untuk halaqah, untuk hafazan (pagi) dan membaca Al Quran (petang).
“Kita ada murid yang telah habis lima juzuk bermula darjah satu dan ahamdulillah, ada antara murid yang telah sampai juzuk 25 dan 26.
“Murid-murid menghafaz doa-doa dan setiap bulan mereka akan menghafaz satu hadis dan mereka akan dinilai ketika peperiksaan dan dalam tempoh 6 tahun berada di SRITI banyaklah hadis yang dihafaz oleh pelajar,” ujar Rabbani.
Mengulas lanjut, Rabbani berkata, pelajar juga diajar Subjek Kaffah yang merangkumi membolehkan aspek aqidah dan tauhid merentasi semua mata pelajaran. Contohnya subjek seperti Matematik, apabila murid-murid belajar nombor 1, ia dikaitkan dengan Allah itu satu iaitu ahad. Selain itu, sains juga dikaitkan dengan al-Quran, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya.

Untuk rekod, SRITI Bandar Tasik Puteri ditubuhkan pada 2017 dan ia merupakan salah satu daripada tiga cawangan SRITI di Selayang.
Menurut Rabbani, ketika memulakan operasi pada tahun berkenaan, SRITI di Bandar Tasik Puteri menerima murid darjah satu sebagai permulaan.
“Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) menggunakan silibus sepenuhnya daripada Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) di peringkat sekolah manakala subjek agama (diniyyah) pula menggunakan subjek sepenuhnya daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya. – HARAKAHDAILY 19/5/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!