KUALA LUMPUR: “Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Tok Guru) telah mengangkat kejayaan besar PAS dalam sejarah perjuangan parti bukti pendirian PAS tegas untuk tidak menjalin kerjasama selagi Datuk Seri Zahid Hamidi masih menjadi Presiden Umno!”
Itu penegasan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai respons terhadap kenyataan media Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa Umno membayangkan tidak akan bekerjasama dengan PAS selagi Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjadi Presiden parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu.
Malah beliau penuh berkeyakinan bahawa selagi Zahid memimpin Umno, ia membawa kebaikan kepada PAS kerana membantu menarik ahli Umno kepada Perikatan Nasional (PN), bahkan Presiden Umno itu menjadi liabiliti kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).
“Tok Guru telah mengangkat kejayaan besar PAS dalam sejarah perjuangan parti dan ia petanda beliau berada di atas laluan yang tepat, bahkan Presiden PAS terus istiqamah di atas dasar penyatuan ummah dan panduan Ilahi,” tegasnya.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyatakan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang tidak konsisten dengan keputusan yang sudah dipersetujui dalam perbincangan secara bersemuka.
Tuan Ibrahim seterus berhujah bahawa Presiden PAS terus istiqamah di atas dasar penyatuan ummah atas dasar dan panduan Ilahi, bersatu di atas kebaikan dan taqwa, bukan menolong membantu dalam mendokong kebatilan dan dosa.
Tambah beliau, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap adalah isyarat jelas bahawa PN mampu menghadapi PRU-16 dengan kekuatan yang ada pada parti gabungan itu sendiri.
“Penolakan terhadap Kerajaan Madani yang menyusahkan rakyat oleh pengundi Melayu termasuk akar umbi Umno, bahkan masyarakat Cina, India dalam PRK kali ini amat jelas,” katanya.
Terdahulu, Umno dan PAS pernah membentuk kerjasama di bawah Muafakat Nasional (MN) selepas berakhir PRU ke-13 pada 2018, namun hubungan itu terlerai sekitar 2022.
Sejajar itu, PAS kini mempunyai 43 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat sekaligus menjadikan mereka blok parti Melayu terbesar setakat ini, sementara Umno pula dengan 26 Ahli Parlimen sahaja. – HARAKAHDAILY 9/7/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!