Lebih 100 sertai cerapan hujan meteor Perseids

- Advertisement -

PADANG BESAR: Lebih 100 peserta dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, dan Perak telah meluangkan masa mereka pada hari bekerja untuk menyertai program cerapan kemuncak hujan meteor Perseids 2024 yang berlangsung di Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh, pada Isnin lepas.

- Advertisement -

Program turut diserikan dengan kehadiran Jabatan Mufti Negeri Kedah Darul Aman yang membawa teleskop untuk membolehkan peserta meneropong bulan dan planet Zuhal.

Hasil cerapan malam tersebut sangat memberangsangkan, dengan sebanyak 141 butir meteor Perseids berjaya dikesan oleh majoriti peserta yang hadir.

 Meteor-meteor tersebut hadir dalam pelbagai variasi dari segi kecerahan, kelajuan, saiz, dan warna.

Penganjur turut berterima kasih kepada pihak MyKP Timah Tasoh kerana sekali lagi menerima kehadiran peserta dan membantu meminimumkan pencahayaan dengan menutup lampu di sekitar kawasan cerapan.

Tasoh Lake Resort by Tasoh TasikKu juga turut menyokong minat orang awam terhadap aktiviti cerapan langit malam dengan mengurangkan pencahayaan di kawasan mereka.

Keterlibatan kedua-dua pemain industri pelancongan ini dalam aktiviti cerapan langit malam sebelum ini menunjukkan kesedaran mereka tentang peranan dan tanggungjawab dalam menyediakan pengalaman yang terbaik kepada pengunjung.

Harapan besar diletakkan agar Timah Tasoh terus menjadi destinasi mesra langit malam yang menjadi pilihan pengunjung pada masa akan datang.

Program cerapan malam itu juga menjadi lebih istimewa dengan kehadiran Ustaz Mohammad Yaakub Yusra daripada Murtadha Dakwah Centre (MADAD), yang turut menyambut ulang tahun kelahiran isterinya bersama anak-anak di bawah pancuran meteor yang menakjubkan. – HARAKAHDAILY 14/8/2024

Kredit sumber daripada Sahabat Langit Utara.

- Advertisement -