
PADANG BESAR: Hujan lebat yang melanda Perlis sejak minggu lalu membawa kelegaan kepada kira-kira 1,221 pesawah yang mengusahakan tanaman padi di kawasan seluas 2,558.56 hektar di negeri ini.
Sebelum ini, sawah-sawah tersebut mengalami kekeringan teruk sehingga tanah menjadi merekah, namun kini mula digenangi air, memberikan harapan baru kepada para pesawah.
Di Kampung Semadong, salah satu kawasan yang paling teruk terjejas, para pesawah mula menjalankan kembali aktiviti pertanian di sawah mereka.
Walaupun mereka menjangka hasil tanaman tetap akan merosot akibat kemarau yang melanda sebelumnya, hujan yang turun memberikan sedikit harapan untuk meneruskan penjagaan tanaman padi yang kini berusia dua bulan.
Che Fariz Izani Che Ya, 36, seorang pesawah di Kampung Semadong, berkata, hujan lebat baru-baru ini memberi sedikit ‘nafas’ kepada mereka apabila melihat bendang yang kering kontang kini kembali digenangi air.
“Saya berharap hujan akan berterusan untuk menampung keperluan bekalan air. Jika cuaca panas kembali, dikhuatiri masalah sama akan berulang.
“Meskipun air kembali ada di sawah, kita jangka hasil tetap merosot, namun sekurang-kurangnya tanaman tidak rosak sepenuhnya,” katanya.
Sebelum ini, Harakahdaily melaporkan 1,221 pesawah yang mengusahakan tanaman padi di kawasan seluas 2,558.56 hektar di Perlis berisiko menanggung kerugian mencecah RM9.8 juta akibat kekurangan bekalan air ekoran cuaca panas dan kemarau.
Kampung Semadong di Beseri, yang melibatkan 70 pesawah dengan kawasan seluas 86 hektar, merupakan salah satu kawasan yang paling terjejas.
Para pesawah di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) hanya bergantung kepada hujan dan Empangan Timah Tasoh untuk sumber pengairan.
Namun, paras air di empangan tersebut tidak mencukupi untuk membekalkan air bagi aktiviti pertanian.
Sebagai rekod, bekalan air untuk pertanian hanya dapat disalurkan apabila paras air di Empangan Timah Tasoh melebihi 27.10 meter. – HARAKAHDAILY 14/8/2024











