JERAI: Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit yang juga Munsyi Dewan Jawi, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merasa terpanggil untuk memastikan tulisan Jawi diketengahkan kepada khalayak dan wujudkan masyarakat yang celik Jawi.
Sungguhpun mempunyai tugas rutin sebagai wakil rakyat di kawasannya, namun menurut beliau, hasrat murni untuk mengangkat martabat tulisan Jawi kepada masyarakat, sama sekali tidak pernah luntur daripada dirinya.
“Saya mahu terus meneruskan usaha mencelikkan masyarakat terhadap tulisan Jawi ini. Kini saya memberi tumpuan kepada khidmat sosial saya dengan mengadakan kursus intensif kaedah tulisan Jawi.
“(Iaitu) kepada guru-guru yang diadakan di Pusat Khidmat Parlimen Jerai, bermula jam 9:00 pagi hingga 5:00 petang setiap Sabtu,” maklum beliau kepada Harakahdaily, hari ini.
Setakat ini katanya, beliau sudah selesai dua siri pengambilan kursus, manakala pada minggu hadapan akan memasuki siri ketiga.
“Sehingga hari ini saya masih menulis Jawi dalam kolum sisipan akhbar _Utusan Malaysia_ setiap hari Jumaat.
“Di Parlimen pun saya banyak bersuara mengenai pentingnya Jawi dalam pendidikan arus perdana agar kesinambungan tulisan khazanah negara terus diperkukuhkan,” jelas beliau lagi
Mengulas lanjut kata Sabri, pendidikan tulisan Jawi ini sekiranya tidak segera dilaksanakan khususnya di sekolah arus perdana, dikhuatiari akan pudar dan hilang.
“Tambahan pula generasi muda sekarang, semakin hilang minat untuk belajar dan menulis Jawi.
“Terdapat juga pihak kaitkan Jawi dengan Islamfobia. Belajar Jawi akan mengislamkan kalangan orang bukan-Islam menjadi momokan pihak tertentu,” ujarnya kesal.
Dalam usaha membina semula generasi celik Jawi, beliau mencadangkan agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap daerah mengambil inisiatif menggalakkan tulisan Jawi di papan tanda sama ada pada nama jalan atau di gedung-gedung perniagaan.
Tindakan itu menurutnya, secara tidak langsung mendedahkan tulis Jawi kepada masyarakat di tempat-tempat awam yang sering dikunjungi orang ramai.
Sementara dengan penambahbaikan tulisan Jawi yang diselaraskan di seluruh negara oleh DBP, beliau yakin matlamat mewujudkan masyarakat celik Jawi akan mencapai kejayaan apabila agensi kerajaan turut berperanan melakukan usaha ke arah itu. – HARAKAHDAILY 13/8/2024