Saya terkelu seribu bahasa pengakhiran seperti ini – Azizulhasni

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Dato’ Azizulhasni Awang memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia di atas apa yang berlaku di Sukan Olimpik Paris 2024, baru-baru ini.

- Advertisement -

Ini, katanya kerana tidak dapat merealisasikan impian semua untuk membawa pulang pingat emas pertama negara.

Menurutnya, sepanjang proses persiapan dan perjalanan ke Paris, beliau sentiasa memainkan gambaran yang positif, gambaran yang penamat di Paris akan menjadi sebuah cerita manis buat Malaysia dan khususnya buat kariernya.

“Namun saya juga terkelu seribu bahasa dengan pengakhiran seperti ini,” ujarnya menerusi catatan di laman Facebooknya, hari ini.

Katanya, ketika melihat nama beliau dikenakan disqualification, dunia seolah-olah terhenti.

Tambahnya, tubuh badan panas bersedia untuk beraksi tiba-tiba menjadi sejuk kaku.

Menurutnya lagi, seluruh velodrom sunyi sepi walaupun hakikatnya penuh dengan sorakan dari penonton yang hadir.

Katanya, beliau masih tidak mahu berputus asa dan menunggu sebuah keajaiban untuk berlaku.

“Menantikan dengan penuh harapan senarai nama akhir pusingan repecharge keluar untuk memastikan nama saya ada di situ.

“Namun akhirnya saya kekal kecewa. Langsung saya mengemas beg dan memilih untuk terus beredar dari situ kerana saya tidak dapat menerima hakikat yang perlumbaan akan berjalan tanpa saya turut serta,” ujarnya.

Azizulhasni berkata, beliau tidak dapat mencari perkataan untuk menggambarkan perasaan yang dialami pada detik itu.

Menurut beliau, tidak pernah terfikir yang perkara seperti itu akan berlaku.

Jelasnya, beliau hadir ke Paris dengan penuh harapan dan membawa misi penting negara tercinta.

Beliau menambah, mungkin ada yang kata harapan terlalu tinggi terlalu besar membuatkan beliau hilang kawalan.

Tegasnya, tidak sama sekali, semuanya berada di dos yang sepatutnya.

“Saya teringat janji-janji kepada ibu, isteri dan anak-anak yang ini merupakan penampilan Sukan Olimpik terakhir ketika mana mereka semua meminta untuk saya bersara selepas pulih dari pembedahan jantung dahulu.

“Saya terfikir adakah ini semua berlaku kerana melanggari permintaan mereka dahulu,” katanya lagi.

Beliau menjelaskan, dari awal karier sehingga sekarang merekalah sumber kekuatan untuk beliau meneruskan perjuangan sehingga mampu menjadi antara terbaik di puncak dunia.

“Saya duduk termenung di bilik. Memikirkan harapan menggunung dari semua orang yang telah musnah,” ujarnya lagi.

Paling sedih, katanya apabila teringat reaksi dari jurulatih John Beasley yang begitu sebak dan tidak dapat menahan emosinya.

Tambahnya, perasaan bersalah yang menggunung kepada seluruh pasukan yang turut sama berkorban untuk memastikan beliau sebagai atlet berada di tahap yang terbaik.

“Islam mengajar kita untuk berdamai dengan takdir. Semua yang berlaku di dunia ini sudah ditentukan oleh Allah Azzawajal sebelum kita diciptakan lagi dan Allah adalah sebaik-baik perancang.

“Syukur kerana saya berpegang teguh dengan tali Allah, jika tak saya tidak tahu bagaimana untuk menghadam dan memproses segala yang berlaku,” katanya lagi.

Azizulhasni mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada perjalanan karier beliau selama ini.

“Terima kasih kepada pihak KBS, MSN, ISN, OCM serta penaja-penaja CIMB, Gardenia Breakthru, Brightcow (FGV), Oligo, 100plus (F&N), Daikin dan Oakley yang sentiasa berdiri teguh di belakang saya,” katanya.

Menurutnya lagi, beliau amat bersyukur kerana terlalu ramai pihak yang sentiasa bersama dengan beliau secara langsung dan tidak langsung.

“Sekali lagi saya memohon maaf kepada semua dan teruskanlah memberikan sokongan penuh kepada atlet-atlet negara kita di masa hadapan.

No amount of regret will change the past. No amount of anxiety will change the future. But any amount of gratitude will change the present,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 14/8/2024

- Advertisement -