Tandatangan MoU banyak, tetapi pelabur tak ada

- Advertisement -

KULIM-BANDAR BAHARU: PRK N.20 DUN Sungai Bakap perlu menjadi satu isyarat atas beberapa keputusan tragis yang dibuat Kerajaan Persekutuan, demikian seru Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.

Terkini katanya, negara kehilangan kedudukan dalam Indeks Daya Saing Global yang jatuh menjunam berbanding tahun-tahun sebelum ini di mana ia menggambarkan ketidakyakinan kepada pemimpin negara.

“Tak yakin apa yang diucap oleh pimpinan. Lawatan luar negara banyak. MoU (Memorandum Persetujuan) cukup banyak ditandatangani. Setiap kali lawatan ada berpuluh MoU ditandatangani. Potensi-potensi pelaburan.

“Tapi real (sebenar) yang melabur tak ada. Sangat sikit. Bermakna MoU ni hanya ciplak bagi menampakkan seolah-olah kita diterima. Tapi realitinya tidak berlaku. Sebab itu indeks kita menjunam,” ujar beliau.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut membandingkan dengan data-data untuk beberapa tahun yang mana buat pertama kali dalam sejarah apabila negara jatuh lebih bawah berbanding Thailand dan Indonesia.

“Makna apa dia? Makna orang tak yakin. Cakap janji banyak tapi pelaksanaan tak ada. Banyak bohong atau tidak tunai,” bidasnya berucap dalam Ceramah Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Negeri Kedah ke PRK N.20 DUN Sungai Bakap di Relau, di sini malam tadi.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim turut memetik hadis Nabi SAW yang memberi peringatan mengenai kemunculan dalam kalangan umat pemimpin-pemimpin yang berdusta dan berbohong serta melakukan kezaliman kepada rakyatnya.

Tegasnya, Baginda Nabi memberi amaran supaya tidak membenarkan pembohongan itu sekiranya mengetahui mereka sedang menzalimi dan juga tidak menolong kezaliman itu, jika tidak mereka bukan umat Baginda dan tidak akan dapat minum dari telaga Baginda.

Dalam ucapan sama beliau turut berharap Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) melakukan sesuatu usaha bagi meningkatkan peratusan keluar mengundi setiap Piluhan Raya Kecil yang diadakan memandangkan angka rendah ketika ini.

“Ia membimbangkan. Walaupun had umur mengundi diturun ke 18 tahun, tidak ada makna kalau rakyat tidak ada kesedaran politik untuk keluar mengundi,” ujar beliau yang juga ADUN Cheka.

Beliau turut meminta rakan-rakan daripada Umno dan DAP yang kecewa dengan parti mereka supaya jangan mengambil tindakan tidak keluar mengundi kerana ia satu malapetaka mesti dielakkan.

Sebaliknya beliau menyeru agar undi mereka diberikan kepada PERIKATAN NASIONAL dan tidak mensia-siakan undi yang sangat besar maknanya kerana ia melibatkan pemilihan pemimpin. – HARAKAHDAILY 22/6/2024

- Advertisement -
- Advertisement -