‘Kita akan berdepan dengan kesan berangkai’

Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rakyat akan berdepan dengan kesan yang berangkai daripada kenaikan diesel yang mendadak.

- Advertisement -

Justeru, katanya kerajaan perlu cermat dalam menangani masalah yang timbul susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Menurutnya, pada masa ini kesan kepada rakyat perlu diberi keutamaan.

“In fact sebelum dibuat pengumuman itu cara untuk menangani kepada rakyat harus difikirkan dengan lebih mendalam, termasuklah jumlah peningkatan yang kita lihat mendadak sekarang ini, ada yang mencadang dibuat secara bertahap dan sebagainya.

“Saya tidak pasti di peringkat pentadbiran kerajaan Persekutuan telah mengkaji sedalam-dalamnya dari segi kaedah perlaksaan yang terbaik itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Program ‘Conference Of Head Of Academic Departments 2024’ (CHAD 2024) di Hotel Primula, di sini, hari ini.

Tambahnya, penyasaran subsidi diesel ketika ini bukan waktu yang terbaik untuk dilaksanakan berikutan rakyat sedang berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi.

“Perkara yang diumumkan kerajaan memeritkan bagi rakyat yang terpaksa berdepan dengan peningkatan yang mendadak.

“Kalau peningkatan secara bertahap mungkin kesan itu dapat diserap dengan lebih mudah di kalangan pengguna terutama syarikat kecil.

“Saya percaya kita akan berdepan dengan kesan yang berangkai daripada kenaikan diesel yang mendadak,” ujarnya.

Beliau berkata, beberapa pengumuman daripada pembekal perkhidmatan, pengeluar barangan juga menunjukkan peningkatan.

“Ini cabaran yang sangat besarlah sesebuah kerajaan terutama kerajaan pusat bagaimana untuk menangani persoalan ini yang saya rasa tidak mudah untuk diselesaikan.

“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada pentadbiran,” katanya.

Pada 10 Jun lepas, harga diesel diselaraskan mengikut pasaran semasa dengan harga permulaan di semua stesen runcit petrol di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada RM3.35 seliter. – HARAKAHDAILY 12/6/2024