Adab kepada Allah SWT teras perjuangan Islam

- Advertisement -

MUAR: Hubungan antara manusia dan Allah itu mestilah berteraskan adab di mana jalinan antara keduanya menjadi pengiktirafan bahawa manusia adalah hamba yang bergantung kepada Allah dalam segala urusan.

- Advertisement -

Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata, berteraskan adab tinggi inilah maka golongan yang beriman akan selalu mendukung akidah yang sahih.

“Mereka akan memastikan perjalanan hidup mereka dalam segala urusan termasuk perjuangan politik mereka berteraskan aturan sistem kehidupan yang berdasarkan wahyu Allah.

“Prinsip yang diperjuangkan PAS ini sewaktu di ambang kemerdekaan dahulu, bersama munculnya pelbagai parti pelbagai ideologi ciptaan mereka sebagai landasan perjuangan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jasin berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Mesyuarat Agung Kali ke 39 PAS Kawasan Muar yang berlangsung di markaz kawasan, di sini kelmarin.

Tambah beliau, PAS meletakkan syariat Allah itu sebagai panduan dan teras untuk mentadbir negara yang membawa kepada ke arah keredaan Allah.

“Dalam ajaran atau ideologi yang lain ada perkara yang baik, tetapi tidak ada yang lebih baik daripada yang diajarkan oleh Allah SWT, yang lebih memberikan kebahagiaan, kejayaan, kegemilangan dan kecemerlangan kepada manusia dalam kehidupan di dunia dan juga di akhirat,” katanya.

Tambah Tuan Guru Zulkifli perkara tersebut menjadi pegangan PAS berlandaskan akidah dan keimanan kepada Al Quran yang meletakkan mereka dalam situasi yang tidak ada pilihan selain daripada Islam sebagai asas dalam mengatur kehidupan manusia dan negara.

Namun katanya, teras yang berlandaskan adab di antara hamba dan Allah SWT itu telah diabaikan oleh sesetengah pejuang yang muncul di ambang kemerdekaan.

“Ianya disedari oleh ulama-ulama kita dahulu. Ada sesuatu yang tidak betul dalam perjuangan politik dan siasah negara ketika tu. Jika dibiarkan akan menyebabkan negara dan rakyat di ambang kebinasaan.

“Pandang jauh mereka ini mendorong golongan ulama bergabung bagi membentuk sebuah gerakan dan parti politik yang akhirnya muncul Parti Islam SeMalaysia (PAS) pada tahun 1951,” katanya.

Jelasnya, PAS berjuang dalam keadaan ketika itu Islam dianggap hanya sebagai ibadah semata-mata dan sistem Islam dianggap sebagai sistem yang membawa kemunduran dan menyebabkan berlaku penindasan seperti didakwa oleh Barat dan para pembenci Islam.

“Para ulama dan amilin Islam dalam negara kita berasa lemah berdepan dengan penolakan ini. Namun mereka tetap berdiri dan membawa bendera Islam dalam perjuangan politik.

“Perjuangan ini dari suatu waktu ke suatu waktu mencapai kejayaan demi kejayaan dengan pengorbanan yang tidak terkira,” ujarnya.

Turut berucap di dalam majlis itu ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Muar yang juga ADUN Maharani, Abd Aziz Talib.

Antara tetamu kehormat yang hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Penerangan PAS Johor, Ustaz Ruslami Roslan, pemangku Ketua BERSATU Bahagian Muar, Basut Nin dan Ketua Srikandi BERSATU, Zarina Hassim. – HARAKAHDAILY 10/6/2024

- Advertisement -