Memilih PAS harus dengan niat yang betul

- Advertisement -

KANGAR: Niat yang betul ikhlas dan jujur dalam memilih PAS sebagai wadah perjuangan mahupun aliran politik akan memimpin ke arah kebahagiaan di dunia dan akhirat walaupun parti ini mempunyai kelemahan.

- Advertisement -

Al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin mengingatkan supaya niat diperbetulkan hanya kerana Allah dan Rasul kerana nilai amalan menjadi tidak sama apabila dilakukan kerana niat selain itu.

Sosok penting dan berpengalaman lama di negeri ini itu menegaskan kepentingan tersebut ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kangar Kali Ke-49 di Dewan Talaqi, Matin, di sini kelmarin.

“Memilih PAS sebagai wadah perjuangan sejak dulu hingga kini haruslah berdasarkan niat yang betul. Jika seseorang memilih satu perjuangan atau aliran politik, persoalannya ialah apa niat mereka?

“Kehidupan yang sementara ini akan menyebabkan penyesalan jika niat tidak diperbetulkan ke jalan Allah SWT dan Rasul SAW. Maka, rugilah jika niat kerana perkara lain,” tuturnya.

Yang Dipertua PAS Kangar, Ustaz Yussaine Yahya menyatakan bahawa tahun ini panitia memperkenalkan dua anugerah iaitu Anugerah Istiqamah dan Anugerah Jasamu Dikenang.

Anugerah Jasamu Dikenang dianugerahkan kepada Tuan Guru Dato’ Hashim, 85, yang lahir pada 1 Ogos 1939 dan pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya PAS hampir 22 tahun.

Beliau yang mendapat pengajian di Baghdad, Iraq dengan biasiswa khas Kerajaan Iraq melalui PAS, kembali ke tanah air dengan menjawat jawatan sebagai pegawai kerajaan sebelum pencen awal pada usia 50 tahun.

Tuan Guru juga pernah menjadi ADUN Sanglang selama beberapa penggal dan Ahli Parlimen Arau.

Seorang lagi penerima Anugerah Jasamu Dikenang ialah Allahyarham Bakri Hashim, yang diwakili oleh anaknya, sementara Anugerah Tokoh Istiqamah dipilih dari lima Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mereka ialah DUN Kayang, Harun Abu Bakar, 78 (DUN Kayang), Mat Jahak Rejab, 73 (DUN Indera Kayangan); Abdul Zakaria, 79 (DUN Bintong), Mat Zain Akob, 84 (DUN Sena) dan Rusli Mahamad, 72 (DUN Kuala Perlis).

Turut hadir Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Tuan Guru Ahmad Ali dan Timbalan Pesuruhjaya, Baharuddin Ahmad. – HARAKAHDAILY 27/5/2024

- Advertisement -