‘Kita yakin doa orang yang dizalimi itu mustajab’

- Advertisement -

BENTONG: Semua ahli khususnya wakil rakyat PAS Pahang yang dizalimi diseru agar terus bermunajat dan berdoa kepada Allah SWT.

- Advertisement -

Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang, Ustaz Zuridan Daud berkata, ini kerana doa orang yang dizalimi sangat mustajab.

“Berdoalah, bermunajatlah kepada Allah SWT, saya minta diri saya yang dizalimi, kita yakin doa orang yang dizalimi itu mustajab, tuan-tuan jangan lupa, setiap kali solat, sujud, doa, doa, doa, usaha, serah pada Allah,” ujarnya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Bentong ke-40 di Markaz PAS Chegar Medang, semalam.

Beliau juga mengingatkan kerajaan negeri ‘jangan jadi sombong teruk sangat’ terhadap ADUN-ADUN pembangkang kerana mereka dipilih secara sah oleh rakyat.

“Dalam Dewan Undangan Negeri, kita tegur dia kata kita kecik, kita sebut masalah air serata negeri Pahang ni, dia kata kita mengutuk, menghina ‘PAIP’ negeri Pahang ni, abih nak cakap macam mana?

“Kita dalam Dewan Undangan Negeri ni bebas menyampaikan apa sahaja aduan rakyat dan tidak lain tidak bukan, kita sampaikan itu ikhlas supaya diperbetulkan untuk diperbaiki demi kemaslahatan rakyat.

“Dan sekiranya kerajaan negeri positif maka sepatutnya dia berterima kasih dengan YB-YB pembangkang ni sebab YB-YB pembangkang ni pergi merata-rata tempat bertemu rakyat, mendapatkan masalah rakyat dan disampaikan dalam Dewan Undangan Negeri,” jelas Ahli Dewan Negeri (ADN) Damak itu.

Ujarnya lagi, biarpun ditekan dan dizalimi oleh pihak pemerintah, beliau optimis PAS bakal terajui Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-16 nanti.

“Kita target nak menang Pilihan Raya Umum ke-16, dekat dah kan, lagi dua tiga tahun lagi, kena kerja kuat, kita nak tambah lagi tujuh kerusi untuk memerintah negeri Pahang.

“Tidak ada masa rehat dalam PAS, Hari Wesak pun ada program. Yakinlah tuan-tuan, semakin kuat tekanan, semakin hebat tentangan, semakin hampir kita kepada kemenangan, insya-Allah,” ujarnya.

Sejurus perasmian, beliau diiringi Yang Dipertua PAS kawasan, Khairuddin Abdullah melancarkan gimik sumbangan dana bagi tujuan pembelian tanah bernilai RM656,000 bagi membangunkan kompleks PAS kawasan berhampiran Markas PAS Chegar Medang.

Turut diadakan penyampaian replika cek Skim Kifalah Ahli PAS (SkimPAS) bernilai RM10,000 kepada Azlinza Azley, balu Ketua PAS Cawangan Mempaga, kepada Almarhum Nek Mat Husin Mohamed, yang telah kembali ke rahmatullah pada tahun lepas. – HARAKAHDAILY 23/5/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -