UMK-Universitas Muhammadiyah perkukuh kerjasama

- Advertisement -

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Pimpinan Pusat Universitas Muhammadiyah Yogyakarta memperkukuhkan lagi kerjasama dua hala yang sedia terjalin sejak 2019.

- Advertisement -

Naib Canselor UMK, Datuk Prof Dr Razli Che Razak berkata, kunjungan rasmi delegasi UMK melalui Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) merupakan kesinambungan hubungan sejak 2019 untuk meningkatkan prestasi bidang pendidikan keusahawanan dan penyelidikan.

Katanya, UMK sudah lama menjalinkan kerjasama dengan Universitas Muhammadiyah di Riau dan beberapa Universitas Muhammadiyah lain.

“Sehingga sekarang seramai 34 pensyarah dari Universitas Muhammadiyah sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di UMK.

“Tahun ini dijangka seramai 18 pensyarah dari Universitas Muhammadiyah bakal menamatkan pengajian mereka selepas tiga tahun berada di UMK,” katanya pada kenyataan di sini.

Semalam rombongan UMK melakukan lawatan ke Universitas Muhammadiyah sempena Lawatan Kerjasama UMK-Indonesia 2024 di Yogjakarta.

Turut hadir Dekan FKP UMK, Prof Madya Dr Zailani Abdullah; Pengarah Pusat Pendidikan Luar UMK (UMKCEE), Prof Madya Ts Dr Muhammad Ashlyzan Razik dan Alumni UMK(PhD)/Pensyarah Universiti Telkom, Abdurrahman Faris Indriya.

Delegasi UMK disambut Ketua Umum PP Muhammadiyah, Prof Dr Haedar Natsir M.Si; Pengerusi PP Muhammadiyah, Prof Dr Irwan Akib; Muhammad Sayuti dan Setiausaha PP Muhammadiyah, Prof Dr Ahmad Muttaqin.

Dr Razli juga berkata, Universitas Muhammadiyah menjadi salah satu organisasi Islam terbesar di Indonesia menjuarai sektor pendidikan, kesihatan dan ekonomi.

Kerana itu, katanya Universitas Muhammadiyah muncul nombor satu terutama dalam bidang pendidikan dan kesihatan di Indonesia.

“UMK turut menawarkan biasiswa kepada guru atau pensyarah dalam bidang keusahawanan dan perniagaan di Muhammadiyah aisyiyah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/5/2024

- Advertisement -