Nahas helikopter: Iran mulakan siasatan

Ebrahim Raisi dan Hossein Amir-Abdollahian terkorban dalam nahas helikopter oada 19 Mei 2024. (FOTO: Tehran Times)
- Advertisement -

TEHRAN: Iran telah memulakan siasatan terhadap nahas helikopter yang mengorbankan antara lainnya Presiden, Ebrahim Raisi dan Menteri Luar, Hossein Amir-Abdollahian pada lewat Ahad lalu.

Ketua Turus Angkatan Tentera Iran, Mejar Jeneral Mohammad Bagheri dilaporkan telah mengarahkan delegasi yang diketuai oleh Brigadier Ali Abdollahi untuk menyiasat insiden berkenaan, lapor  Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

- Advertisement -

“Hasil siasatan akan diumumkan kemudian apabila misi telah selesai,” ujar laporan tersebut.

Kejadian pada Ahad itu, menyaksikan helikopter yang membawa Raisi dan pegawai kanan kerajaannya dilaporkan terhempas di barat laut Iran ketika dalam perjalanan pulang dari merasmikan sebuah empangan di sempadan Iran-Azerbaijan.

Selain Raisi dan Abdollahian, turut berada di dalam helikopter malang tersebut ialah Gabenor Wilayah Azerbaijan Timur, Malek Rahmati dan Imam Solat Jumaat di Tabriz, Ayatollah Mohammad Ali Ale-Hashem. 

Upacara pengebumian kesemua mangsa tragedi berkenaan akan diadakan bermula hari ini hingga esok, Khamis di bandar Tabriz, Qom, Tehran dan Birjand, sehinggalah pengebumian Raisi yang akan dilakukan di Makam Imam Reza di Masshad.

Sementara itu, bendera di seluruh Iran mula dikibarkan separuh tiang dan sepanduk hitam dikibarkan di sebuah pusat ibadat utama Syiah di bandar Qom, selatan Tehran. – Agensi-HARAKAHDAILY 21/5/2024 

- Advertisement -