Harumanis Perlis punya rasa tersendiri – Shukri

- Advertisement -

KANGAR: Harumanis Perlis tidak dapat ditandingi oleh mangga dari mana-mana negeri kerana mempunyai rasa tersendiri dan hanya sesuai ditanam di negeri ini, kata Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

- Advertisement -

“Harumanis Perlis ini tidak dapat ditandingi oleh mana-mana mangga negeri lain, dia ada rasanya yang tersendiri. Dengan cuaca dan tanah di negeri Perlis ini tidak akan ada negeri yang boleh tandingi harumanis Perlis,” ujarnya.

Beliau secara berseloroh menjawab dakwaan harumanis negeri itu ketinggalan 80 tiang yang dipercayai merujuk kata-kata Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Dato’ Seri Sanusi menyatakan bahawa mangga keluaran negeri tersebut iaitu Harumanis D’Aman mampu dominasi pasaran negara sedikit masa lagi dan sudah 80 tiang meninggalkan harumanis Perlis.

“(Kira-kira) 80 tiang tinggal (jauh meninggalkan) harumanis Perlis dari segi keluasan saiz dan tanaman. D’Aman ini luas tanamannya dan banyak produk dia, harumanis ini asalnya dari Kedah cuma dikomersialkan di negeri lain.

“Kita ada banyak tanaman harumanis yang ditanam oleh persendirian, ramai nanti akan jadi pekebun kecil D’Aman selain Jabatan Pertanian, harumanis Kedah boleh atasi buah di Perlis. 

“Sekarang kita bersaing rapat walaupun baru mula tahun lepas kalau tempoh lama lagi, tinggal 80 tiang,” katanya ketika Majlis Perasmian Penjenamaan Semula Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan di Yan, baru-baru ini.

Shukri dalam mengulas lanjut berkaitan kelainan terdapat pada buah tersebut menyifatkan harumanis Perlis mempunyai kemanisan dan keharuman yang tiada di negeri-negeri lain.

“Harumanis Perlis ini dia ada manis dan paling penting dia ada harum. Setakat saya tau (tahu) mana-mana negeri yang bawa balik benih harumanis dari Perlis tidak dapat menyamai rasa dan keharuman mangga harumanis Perlis.

“Lagipun tanah dan cuaca di Perlis ini sesuai dengan tanaman ini. Saya rasa Perlis yang (berada) 80 tiang ke depan bukan ketinggalan 80 tiang,” ujarnya ketika ditemui di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, di sini hari ini. – HARAKAHDAILY 8/5/2024

- Advertisement -