Syahir cadang ‘kelas ulangkaji’ untuk Menteri

Susulan PM mahu beri 'kuliah ekonomi' kepada pembangkang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menyambut baik kesediaan kerajaan untuk memberi ‘kuliah ekonomi’ kepada pembangkang seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

- Advertisement -

“Pelajaran yang baik, amat dialukan. Jika percuma, Alhamdulillah. Jika berbayar, tanpa peruntukan pun akan diusahakan,” ujar beliau, berharap ia dibahas dalam skop luas merangkumi makro dan mikroekonomi serta melibatkan Dasar Fiskal dan Dasar Monetari.

Cadang beliau, topik yang relevan bagi ‘kuliah ekonomi’ tersebut adalah ‘Inflasi dan Kestabilan Harga’; ‘Subsidi dan Cukai’; ‘Defisit dan Hutang’; ‘Kemiskinan dan Ketidaksamaan’; serta ‘Globalisasi dan Matawang’. 

“Supaya dapatlah kami memahami selok-belok pengurusan ekonomi, seterusnya mengukur pencapaian Ekonomi Madani secara objektif dan realistik,” ujar beliau yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS. 

Pada masa sama kemuka Syahir, ada baiknya juga dibuat ‘Kelas Ulangkaji’ dua pelajaran penting kepada para Jemaah Menteri Kerajaan Madani, iaitu dicadangnya subjek Matematik dan Pendidikan Sivik.

Jelas beliau, ‘Kelas Ulangkaji’ subjek Matematik itu supaya dapat diperingatkan semula segala ‘formula’ yang telah diulang-ulang sebelum ini dan juga bagi mengenal ‘angka’ yang terbesar dan tertinggi.

Manakala ‘Kelas Ulangkaji’ subjek Pendidikan Sivik terangnya, supaya dapat diperingatkan semula tanggungjawab seorang pemimpin untuk sentiasa bercakap benar, berintegriti, tidak khianat, dan tidak mungkir janji.

“Berbalik kepada polisi ekonomi, dalam tempoh terdekat ini, mohon YAB muktamadkan segera mekanisma subsidi bersasar RON95 yang dijadualkan bermula pada separuh kedua 2024, sebagaimana diumumkan oleh Menteri Ekonomi sejak November 2023.

“Perihal subsidi bersasar ini telah diulang banyak kali, khususnya sepanjang tempoh pendaftaran PADU yang ditutup pada 31 Mac yang lalu. PADU telah mempunyai segala butiran maklumat peribadi sejumlah 11.55 juta warganegara berumur 18 tahun ke atas. 

“Difahamkan semuanya telah tersedia, hanya menunggu diumumkan sahaja. Semua pihak sedang menantikan peralihan ekonomi negara kepada program subsidi bersasar, khususnya petrol RON95 yang lebih meluas penggunaannya. 

“Apakah mekanisma penetapan harga, kaedah penyaluran subsidi, kekerapan pengagihan, dan bentuk bantuan tunai; impaknya terhadap inflasi dan kos sara hidup rakyat, di samping kesan kepada kedudukan fiskal dan hutang negara?” ujarnya.

Beliau menyeru supaya dipastikan segala kajian dan simulasi telah dibentangkan, hanya menunggu masa untuk dimuktamadkan, sebelum negara melangkah masuk separuh kedua tahun ini, dalam suasana inflasi yang dijangka melambung tinggi.

Anwar kelmarin berkata, pembangkang sering mengelirukan orang ramai dengan fakta tidak tepat, memperlekeh dan mencerca usaha kerajaan meningkatkan ekonomi dan produktiviti penjawat awam.

Termasuk menurut beliau yang juga Menteri Kewangan, pertikaian berkaitan pelarasan gaji bermula Disember ini, dengan menjaja cerita tidak benar dalam kempen PRK N.06 DUN Kuala Kubu Bharu.

“Kalau tidak nanti dia (pembangkang) bingung. Bila bingung, dia cerca di khalayak dan orang keliru,” ujarnya menegaskan kesediaan memberi ‘kuliah ekonomi’ itu semasa berucap pada majlis perhimpunan warga Kementerian Kewangan di Putrajaya. – HARAKAHDAILY 8/5/2024

- Advertisement -