Kunjungan Songkhla eratkan hubungan dengan Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menerima kunjungan hormat Gabenor Wilayah Songkhla, Somnuk Promkeaw di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

- Advertisement -

Delegasi Selatan Thailand itu ke negeri ini dalam rangka mengeratkan hubungan diplomatik, selain meneroka ruang-ruang mempromosi pelancongan antara kedua pihak.

Sanusi memaklumkan, turut dibincang kedua pihak adalah langkah mempermudahkan urusan kemasukan kenderaan perdagangan yang membawa barangan segar dari negara jiran itu.

“Ada beberapa isu yang kita tak dapat sediakan jawapan kerana agensi berkaitan tidak turut serta pada perjumpaan ini, maka satu kunjungan balas kerajaan negeri ke wilayah Songkhla akan diadakan dalam tempoh terdekat,” jelasnya.

Beliau berkata, perjumpaan itu juga bersetuju menubuhkan satu ‘working group’ antara Kedah dan Songkhla bagi menyelesaikan isu-isu bersama terutama berkenaan sektor perdagangan, pelancongan, pendidikan, budaya dan lain-lain.

Namun ujarnya, kerajaan negeri hanya boleh menyelesaikan isu-isu di bawah bidang kuasanya, manakala berkaitan Kerajaan Persekutuan, ia tertakluk kepada agensi-agensi tertentu.

“Oleh itu saya menggalakkan agensi-agensi di bawah Kerajaan Persekutuan untuk bersama kerajaan negeri pada kunjungan balas ke wilayah Songkhla nanti.

“(Ini) bagi membantu selesaikan isu-isu dibangkitkan di bawah Kerajaan Persekutuan,” tambah beliau pada sidang media selepas majlis perjumpaan itu.

Selain itu, beliau mendapat maklum balas dari delegasi berkenaan, kelemahan menguasai bahasa Inggeris antara sebab menjadi kekangan warganegara Thailand melancong ke Malaysia.

“Malaysia menerima kunjungan pelancong Thailand hanya 1.3 juta setahun berbanding 4.8 juta setahun pelancong Malaysia ke Thailand.

“Kata mereka, orang Malaysia boleh berbahasa Inggeris dan ada yang boleh boleh berbahasa Thai tapi orang Thailand hanya boleh berbahasa Thai sahaja. Itu antara sebab kurangnya orang Thailand datang ke Malaysia,” tambahnya.

Delegasi yang diketuai Gabenor Songkhla itu diwakili 27 orang terdiri daripada pemimpin tertinggi wilayah berkenaan dalam pelbagai bidang.

Sementara  pihak kerajaan negeri turut dihadiri beberapa Exco Kerajaan Negeri dan wakil pegawai kerajaan negeri.- HARAKAHDAILY 6/5/2024

- Advertisement -