‘Jadilah manusia jangan warisi sifat syaitan’

- Advertisement -

JERAI: “Jangan mengkritik kebaikan dilakukan oleh orang lain kerana orang yang berbuat demikian mewarisi sifat syaitan,” demikian kata Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Beliau mengulas demikian berikutan ucapan permohonan maafnya di Majlis Sambutan Aidilfitri Madani di Jitra, malam tadi dipersenda segelintir pihak.

“Bila orang sakit hati tengok satu benda baik, dia mewarisi sifat-sifat syaitan. Jadi berhentilah jadi syaitan, jadilah manusia. Di media sosial ni, buat baik pun salah, tak baik pun salah.

“Kalau kita berbuat baik sesama umat manusia pun tidak disukai. Itulah kerja syaitan,” tegas beliau ketika ditemui pada Majlis Penjenamaan Semula Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan, di sini hari ini.

Sanusi mengambil kesempatan memohon maaf bagi pihaknya dan kerajaan negeri di atas kesilapan mahupun ketelanjuran serta percakapan sepanjang menerajui Kedah, dalam ucapan semalam.

Sikap terbuka dan berlapang dada beliau itu bagaimanapun telah diambil kesempatan dan cuba dipermainkan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

Lebih mengaibkan tular karikatur beliau tunduk memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berserta dialog ‘Mohon maaf ler, mulut saya memang kurang ajaq, Kelantan dah dapat, Kedah bila lagi?’

Justeru kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu, tindakan memohon maaf juga merupakan adab menghormati tetamu sepertimana yang dianjurkan Nabi Muhammad SAW di dalam hadis Baginda.

“Tetamu mai tempat kita tentulah kena hormat, itu wajib Nabi kata, ada hadisnya. Saya minta maaf zahir dan batin. Lagipun beramal dengan panduan-panduan Islam suruh itu wajib. Jadi tang mana yang sakit sangat?” soal beliau lagi.

Mengulas lanjut, kata Sanusi, sewajarnya perkara-perkara yang baik patut disuburkan dan memohon maaf itu menandakan seseorang itu berjiwa besar.

Tambahan pula ujarnya sebagai umat Nabi Muhammad SAW di akhir zaman, perlu melakukan seberapa banyak mungkin kebaikan di muka bumi Allah ini. – HARAKAHDAILY 5/5/2024

- Advertisement -