PRK KKB beri ‘signal’ penguasaan PH di Selangor PRU16

- Advertisement -

SELEPAS empat bulan petugas pilihan raya berehat, Sabtu ini mereka turun padang semula. Kali terakhir mereka berhempas pulas 2 Disember lepas di Kemaman.

Namun, misi kali ini lebih mencabar. Di atas kertas ia mungkin mengulangi situasi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Pelangai, Pulai dan Simpang Jeram di mana kekal status quo.

Ketiga-tiga PRK tersebut kekal dimenangi Barisan Nasional (BN) dan Amanah (PH). Begitu juga di Kemaman dan Kuala Terengganu kekal dimenangi PAS (PN).

Apakah Kuala Kubu Bharu (KKB) juga mengalami nasib serupa. Biarpun kesan PRK KKB tidak mengubah status kerajaan negeri, namun PH perlu menjaga maruah. Air muka tercalar sekiranya KKB terlepas genggaman.

- Advertisement -

Kedudukan sekarang gabungan PH-BN menguasai 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lepas.

Manakala PERIKATAN NASIONAL (PN) pula bertapak di 22 DUN. Namun pada 5 Mac lepas seorang Adun Bersatu menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari memberitahu masih kekal sebagai ahli BERSATU. Ini bermakna kedudukan pembangkang tidak berubah, kekal 22 kerusi, kecuali Abdul Rashid dipecat daripada BERSATU.

PRK Kuala Kubu Bharu akan diadakan 11 Mei ini. Ia susulan kematian penyandangnya dari DAP, Lee Kee Hiong akibat kanser.

KKB menjadi tumpuan kerana demografi pengundi hampir setara. Pengundi Melayu meliputi 46.4 peratus; Cina (30.7 peratus), India (18 peratus) dan lain-lain (5 peratus).

Apabila dicampur pengundi Cina dan India, pengundi bukan Melayu mengatasi pengundi Melayu. Mereka membentuk 48.7 peratus. Itu perkiraan di atas kertas.

Namun tidak semua pengundi Cina akan memilih DAP. Ini kerana KKB diwakil MCA selama 56 tahun. MCA mempertahankan kerusi tersebut sejak merdeka sehingga 2008.

Bagaimanapun perubahan berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013. Ia berterusan hingga Ogos 2023 apabila dirampas DAP. Kee pertama kali menang di Kuala Kubu Bharu pada PRU 2013 apabila menewaskan calon MCA dengan majoriti 1,702 undi.

Namun, MCA dan DAP sudah berkerat rotan. Pengerusi MCA Selangor Lawrence Low dilapor berkata, ahli MCA di peringkat akar umbi memberi jaminan tidak akan memberi undi kepada DAP.

“Saya sendiri turun ke Kuala Kubu Bharu mendapati akar umbi MCA marah kepada Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang menyebut MCA parti tauke tidak membantu masyarakat Cina,” ujar Low.

Pada PRN Ogos lepas DAP menang di Kuala Kubu Bharu dengan majoriti 4,119 undi. Mendiang Kee menewaskan calon PN, Teoh Kien Hong.

Parti baharu

Bekas editor kanan sebuah akhbar Yusri Yusof menjangka ada tiga kemungkinan akan berlaku dalam kalngan pengundi Cina di KKB. Pertama mereka akan perkukuhkan sokongan kepada DAP.

Kedua, ahli serta penyokong MCA akan boikot PRK. Dan ketiga, sejumlah pengundi Cina akan beralih sokong PN.

“Andainya berlaku majoriti kaum Cina di KKB membuat pilihan kedua, peluang PN membentuk Kerajaan pada PRU-16 masih lagi samar.

“Kalau berlaku sejumlah yang signifikan kaum Cina KKB memberi undi kepada PN, maka hampir pasti ada peluang cerah untuk PN berada dalam posisi government in waiting di Selangor,” ujarnya.

Bagaimanapun Yusri menyifatkan kaum India boleh menjadi ‘king maker’ di KKB. Lagi pun MIC sudah cuci tangan. Sebelum ini MIC menguar-uarkan tidak mahu membantu kempen calon PH, dan hari ini lain pula nada.

Apa pun kehadiran Malaysian Indian People’s Party (MIPP) bersama PN juga tidak boleh dipandang mudah. Ia boleh menjadi faktor penyumbang.

Begitu juga Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI) yang dipimpin bekas pemimpin DAP, P Ramasamy. Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu sudah mufarakah daripada DAP.

Kemunculan kedua-dua parti terbabit sedikit sedikit sebanyak mampu menarik sokongan pengundi India di KKB. Begitu juga peranan Gerakan memecahkan undi kaum Cina daripada DAP.

Potensi PN juga dapat dilihat apabila KKB yang berada dalam Parlimen Hulu Selangor hampir didominasi pakatan tersebut. PN menguasai dua daripada tiga kerusi. Pada PRN lepas PN menguasai DUN Hulu Bernam dan Batang Kali.

Di Selangor, PH berkubu di DUN Seri Serdang, Kinrara, Subang Jaya, Bukit Gasing, Kampung Tunku, Bandar Utama, Bukit Lanjan, Bandar Baru Klang, Pandamaran, Sentosa, Kota Kemuning, Banting, Rawang, Bukit Antarabangsa, Teratai, Kajang, Balakong, Seri Kembangan serta Seri Setia.

PH juga menguasai sebahagian kerusi majoriti Melayu iaitu di DUN Kota Damansara, Kota Anggerik, Meru, Sungai Pelek, Kuala Kubu Baharu, Sungai Tua, Lembah Jaya, Pandan Indah, Dusun Tua dan Semenyih.

Sebaliknya, BN hanya menang di DUN Dusun Tua dan Sungai Air Tawar. BN juga gagal di DUN Selat Klang, Sungai Panjang, Jeram, Semenyih, Kuang, Sungai Burong, Gombak Setia, Sijangkang dan Dengkil.

Pada PRU ke-14 PH membentuk kerajaan di Selangor selepas menang di 51 daripada 56 kerusi. Ketika itu PKR menguasai 28 kerusi, DAP (14), Amanah (5), Bersatu (4), BN (4) dan satu kerusi DUN dimenangi PAS.

Hari ini situasi itu sudah berubah. PKR dan BN hilang banyak kerusi pada PRN-15, Ogos lepas. Maka KKB akan memberi isyarat jelas, penguasaan PH di Selangor bakal berakhir atau sebaliknya. – HARAKAHDAILY 25/4/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -