Tapak baharu Klinik Kesihatan Bukit Tunggal strategik

Wan Sukairi Wan Abdullah
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mendapati cadangan tapak untuk pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Tunggal baharu di Kampung Banggul Baruh, Kuala Nerus adalah strategik.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kedudukan dan keluasan tanah 7.080 ekar yang dicadangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal itu akan dipanjangkan permohonan pengambilan tanah kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pertimbangan dan seterusnya memulakan proses perolehan setelah mendapat kelulusan.

“Satu lawatan tapak bagi cadangan tapak baru untuk Klinik Kesihatan Bukit Tunggal telah dibuat pada 14 Februari 2024 yang lalu melibatkan ADUN Bukit Tunggal, wakil Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, wakil Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus dan wakil Klinik Kesihatan Bukit Tunggal.

“Hasil daripada lawatan dan pemantauan yang dibuat, pihak JKNT mendapati kedudukan dan keluasan tanah yang dicadangkan oleh ADUN Bukit Tunggal adalah strategik dan kawasan sekitar di dalam tempoh pembangunan (perumahan),” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Zaharuddin Zahid (PAS-Bukit Tunggal) pada persidangan DUN di sini, hari ini.

Zaharudin dalam soalan ingin tahu perkembangan berkenaan cadangan tapak baharu untuk Klinik Kesihatan Bukit Tunggal.

Wan Sukairi berkata, setelah didapati klinik kesihatan sedia ada adalah sesak dan padat, bagi kepentingan perkhidmatan kesihatan yang lebih optimum dan efisien, pihak JKNT akan memanjangkan permohonan pengambilan tanah kepada pihak KKM untuk pertimbangan.

“Selanjutnya, cadangan pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Tunggal bagi menggantikan klinik kesihatan sedia ada ini akan dimasukkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-14 (Tahun 2031-2035),” katanya.

Menurutnya lagi, pembinaan klinik itu akan dapat menampung pertambahan populasi melebihi 50,000 orang dengan kedatangan pesakit sehingga 800 orang sehari di kawasan Bukit Tunggal. – HARAKAHDAILY 24/4/2024

- Advertisement -