Perlis usaha keluar produk beras negeri

Razali Saad
- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan negeri melalui jabatan dan agensi berkaitan akan melaksanakan langkah untuk mengeluarkan produk Beras Perlis yang diusahakan secara berperingkat.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Razali Saad berkata, pihaknya sedang membangunkan Projek Padi Pintar ke arah memperkukuh pengeluaran serta produktiviti hasil padi dan dapat mengeluarkan beras sendiri.

Menurutnya, usaha itu sebagai langkah mewujudkan hub pertanian berskala sederhana dan besar bagi industri padi di negeri ini.

“Projek ini berkeluasan 330 hektar yang melibatkan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bintong, PPK Beseri dan PPK Padang Siding.

“Pada tahun ini, jabatan telah menerima peruntukan negeri sebanyak RM50,000 bagi skop pembungkusan. Insentif ini secara langsung dapat membantu mengurangkan kos yang terlibat,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Abu Bakar Hamzah (Bersatu-Kuala Perlis) berkaitan isu harga beras yang masih berpanjangan yang tiada kesudahan.

Menurutnya lagi, usaha itu akan dilaksanakan bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Simpang Empat sebagai pengilang dan Bernas sebagai pembekal beras untuk pengeluaran Beras Perlis.

“Insentif pembungkusan sebanyak RM50,000 diharap dapat membantu untuk menjayakan pengeluaran Beras Perlis dan jualan akan dibuat di kesemua 11 PPK yang memenuhi syarat oleh Bahagian Kawal Selia.

“Jabatan Pertanian bersama agensi seperti PPK, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan MADA dari masa ke semasa akan membantu projek yang terlibat terutamanya dari segi keperluan infrastruktur asas ladang,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 24/4/2024

- Advertisement -