Israel musnahkan semua 12 universiti di Gaza

Setelah 200 hari serangan Zionis ke atas Palestin

- Advertisement -

SEPANJANG 200 hari serangan-serangan rejim Zionis di Gaza, ia dilakukan dengan terancang dan bersasar. 

- Advertisement -

Rumah kediaman, pusat industri, pejabat-pejabat kerajaan, pusat kesihatan dan hospital, rumah ibadat dan sekolah adalah menjadi keutamaan untuk dimusnahkan.

Suatu yang tidak ditinggalkan ialah pusat-pusat pengajian tinggi dan universiti. Sehingga kini, kesemua 12 universiti yang terdapat di Semenanjung Gaza telah dibedil dan diserang. 

Sebahagiannya musnah sama sekali. Manakala beberapa buah lagi mengalami kerosakan teruk dan tidak dapat beroperasi lagi.

Kenapa universiti-universiti ini menjadi sasaran utama?

Masyarakat Gaza adalah masyarakat yang sangat mementingkan ilmu pengetahuan. Kadar celik huruf mereka adalah tertinggi di dunia iaitu 98 peratus. Menewaskan negara-negara yang lebih kaya seperti Arab Saudi, UAE dan lain-lain.

Pencapaian akademik anak-anak Palestin juga sangat luar biasa. Rata-rata anak Palestin meneruskan pengajian mereka hingga ke tahap ijazah sarjana muda. 

Anak-anak muda pemegang ijazah sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dalam pelbagai bidang adalah sangat ramai. 

Tidak hairanlah apabila khidmat dan kepakaran mereka dimanfaatkan di serata dunia, walaupun datang dari negara yang tidak berdaulat. 

Bayangkan Semenanjung Gaza yang hanya seluas seperlima dari keluasan Daerah Maran, mempunyai 12 universiti! Menjadikan Gaza seluruhnya bagaikan sebuah kampus pengajian. Masyarakat Gaza seolah-olah hidup dalam sebuah kampus pengajian yang besar. 

Israel menganggap fenomena ini membahayakan mereka. Orang Palestin boleh hidup walaupun disekat ekonominya dan dikepung sempadannya. Mereka masih mampu bertahan dalam peperangan dan mencipta senjata sendiri untuk berhadapan musuh. 

Walaupun sering disebut, Yahudi Israel adalah masyarakat yang cerdik dan berilmu. Namun fakta sebenarnya adalah tidak begitu. 

Rejim Zionis melihat orang Palestin tidak boleh dibiarkan cerdik dan berilmu. Pusat-pusat pengajian tinggi ini perlu dimusnahkan. 

Maka serangan disasarkan ke bangunan-bangunan kampus pengajian di samping serangan langsung untuk membunuh tokoh-tokoh akademik mereka. 

Perang 200 hari ini menyaksikan ratusan ahli akademik dibunuh termasuk 3 rektor dan 95 dekan dan profesor. 

Seramai 17 daripada mereka adalah profesor, 59 pemegang ijazah kedoktoran PhD dan 18 orang sarjana pelbagai bidang.

Serangan terhadap IPT ini sekali gus menyebabkan 88,000 pelajar dinafi hak untuk meneruskan pengajian. Manakala 555 pemegang biasiswa luar negara gagal pergi ke negara berkenaan untuk meneruskan pengajian.

Universiti Islam Gaza menjadi sasaran utama berbanding IPT-IPT lain. Sejak awal Oktober 2023, Israel telah mengumumkan hasrat mereka untuk memusnahkan universiti ini kerana dianggap sebagai markaz melahirkan kumpulan pengganas. 

Manakala Universiti Al Azhar Gaza turut disasarkan dalam siri serangan penjajah. Bersungguhnya Israel hendak memusnahkan universiti ini hinggakan serangan dilakukan terhadap kampus utamanya sebanyak tiga kali. Iaitu pada 11 Oktober, 4 November dan 21 November 2023.

Selepas itu satu demi satu universiti lain dibom dan dibedil oleh pesawat Zionis. Ratusan pelajar dan pensyarah dibunuh. 

Antara yang terbunuh ialah Profesor Fadhil Abu Hayyan, pensyarah psikologi dari Universiti Al-Aqsa. Beliau adalah rujukan dunia dalam ilmu psikologi. Dibunuh secara target yang disengajakan oleh penembak Israel. 

Pada penghujung November, tentera Israel membedil dan memusnahkan rumah Presiden Universiti Islam Gaza, Profesor Sufyan Tayeh dan membunuh semua ahli keluarganya. Almarhum terkenal sebagai seorang ahli fizik yang dihormati dan menjadi rujukan cendekiawan dunia. 

Pada 6 Disember, Dr Refaat Alareer pensyarah Universiti Islam Gaza yang pernah mendapat pendidikan di Universiti Putra Malaysia (UPM) dibunuh bersama sebahagian ahli keluarganya. 

Masyarakat Barat kini mula menzahirkan pandang sisi berbeza terhadap isu di Gaza hasil penyebaran tulisan-tulisan Dr Refaat Alareer dalam Bahasa Inggeris. 

Mengulas isu ini, Profesor Media dari Universiti An Najah, Dr Farid Abu Dhuhair menyifatkan tindakan Israel menjadikan universiti-universiti sebagai sasaran serangan adalah umpama membunuh sekalian rakyat Palestin. 

Ini kerana masyarakat Palestin sangat mementingkan ilmu pengetahuan. Ia dianggap sejuzuk dari kehidupan mereka.

Kemusnahan bangunan-bangunan pengajian tinggi di Gaza dianggarkan bernilai RM1.019 bilion. Selain modal yang besar, pembangunan semula universiti-universiti ini dijangka akan memakan masa yang lama.

USTAZ ARIS HAZLAN ISMAIL
Maran, Pahang – HARAKAHDAILY 24/4/2024

*Gambar sebelum serangan

- Advertisement -