Salah guna premis kerajaan di KKB: Adam Adli sila jawab

Mardhiyyah Johari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli Abdul Halim diminta menjawab isu integriti berkaitan penyalahgunaan premis kerajaan oleh Umno untuk majlis politik di Maktan Rendah Sains MARA di Kuala Kubu Bharu (KKB).

Ketua Pengarah Ameerah Dewan Muslimat PAS Malaysia, Mardhiyyah Johari berkata, beliau telah meneliti kenyataan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkenaan penyalahgunaan agensi dan kakitangan kerajaan oleh parti komponen Kerajaan Madani.

- Advertisement -

“Disertakan gambar Majlis Perasmian Mesyuarat Cawangan Umno yang diadakan di MRSM Kuala Kubu Bharu. 

“Saya memahami teguran itu dari konteks integriti kerana premis kerajaan, agensi dan kakitangan awam tidak sepatutnya disalahgunakan untuk kepentingan politik pihak yang berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan. 

Menurut Mardhiyyah, beliau yakin prinsip ini juga yang dipegang oleh Pakatan Harapan (PH) sekian lama dan disebabkan itu, ia menimbulkan kehairanan apabila membaca laporan Malaysiakini semalam (23 April) yang memetik respons balas dari Adam Adli bertajuk, Adam Jawab Pemuda PAS : Ada Orang Sasau Lepas Hilang Kuasa.

Tambahnya, beliau mengulang baca laporan portal  Malaysiakini dari awal hingga akhir berkali-kali tetapi tidak ada satu ayat pun yang menjelaskan berkenaan isu sebenar yang ditegur Ustaz Afnan berkenaan isu integriti, penyalahgunaan premis kerajaan.

“Adakah Malaysiakini yang lupa bertanyakan soalan sebenar dari kenyataan penuh Ketua Pemuda PAS, atau Ketua Pemuda Keadilan ini yang mengelak dari menjawab isu sebenar yang menjadi pertikaian?

“Adakah Pakatan Harapan atau Ketua Pemuda Keadilan sudah boleh menerima amalan menggunakan agensi atau kakitangan awam atau premis Kerajaan untuk majlis politik hanya kerana parti politik itu mempunyai kelebihan sebagai Kerajaan?

“Adakah menegur tentang integriti itu kini dianggap sasau? Adakah menegur tentang integriti itu kini tiada lagi dalam kamus perjuangan reformasi,” soal beliau.

Menurut ADUN Pengkalan Kundor ini lagi, jawapan itu yang diperlukan daripada Adam Adli dan ianya dikira lebih bermaruah sekiranya pimpinan Pakatan Harapan mendidik Umno mengenai reformasi dan integriti dengan menegur kesalahan tersebut. 

“Teguran seumpama itu pasti lebih mengundang hormat rakyat. Janganlah sesekali diremehkan teguran tentang prinsip integriti yang menjadi perjuangan kalian selama ini apabila sudah berada di puncak kuasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/4/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -