Parti peralat jentera kerajaan: PRK KKB medan hukuman

Penjawat awam enggan jadi boneka politik lapuk Umno

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PRK N.06 Kuala Kubu Bharu harus menjadi medan hukuman kepada parti yang semakin menyerlah semula ‘kehebatan’ dalam menyalahgunakan kuasa, demikian gesa Naib Ketua Pemuda PAS, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin.

- Advertisement -

Katanya, Umno menunjukkan bahawa parti itu belum ‘bertaubat’ walaupun telah ditolak oleh rakyat termasuk para penjawat awam apabila masih mengekalkan lagaknya menggunakan jentera kerajaan demi kepentingan politik lapuk mereka.

“Buktinya, di Parlimen Putrajaya yang didiami majoriti oleh para penjawat awam pada PRU15 yang lalu, telah menolak Umno. Menyebabkan Umno bungkus ikat tepi dan menyembah bumi lalu digantikan dengan PN.

“Siri-siri penyalahgunaan kemudahan dan aset kerajaan demi kelangsungan politik Umno terlalu banyak jika ingin disenaraikan. Lebih teruk lagi, sikap Umno yang lagaknya seolah-olah mentadbir negara selama-lamanya. 

“Umno telah menjadikan para penjawat awam di peringkat Persekutuan mahupun Negeri sebagai boneka politik sepanjang mereka berkuasa di negara ini,” ujar beliau menyelar tindakan terbaharu parti itu.

Hanif merujuk isu sebuah institusi pendidikan yang seharusnya bebas daripada ditunggang oleh politik kepartian telah diperalat dan dipergunakan untuk Mesyuarat Berkelompok Cawangan-cawangan Umno Hulu Selangor.

Sebagaimana laporan banyak media dan tukaran di media sosial, mesyuarat tersebut telah diadakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Bharu dan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Tatakelola yang dilaungkan oleh Pakatan Harapan (PH) sebagai rakan komponen kerajaan bersama Umno hanya syok sendiri sahaja. Rakyat dan pengundi Kuala Kubu Bharu perlu ajar Umno dan PH kali ini atas kebobrokan tatakelola dan tadbir urus yang songsang!” gesanya. – HARAKAHDAILY 24/4/2024

- Advertisement -