Pelabur asing jual RM1.59 bilion saham minggu lalu

Tertinggi dalam empat tahun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelabur asing menjual RM1.59 bilion saham dalam pasaran ekuiti tempatan di Bursa Malaysia sepanjang minggu lepas seiring dengan kebanyakan pasaran Asia, demikian lapor MIDF Research, sebentar tadi.

- Advertisement -

Firma penyelidikan itu dalam laporan aliran dana mingguannya berkata, ia adalah aliran keluar bersih mingguan tertinggi dalam tempoh empat tahun sejak negara ini memasuki Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac 2020.

Laporan tersebut menyatakan, ini adalah minggu kelapan berturut-turut jualan bersih di Malaysia oleh pelabur asing di mana mereka melakukan jualan bersih ekuiti Malaysia setiap hari sepanjang minggu lepas selama sembilan hari dagangan berturut-turut.

“Satu-satunya sektor dengan aliran masuk asing bersih minggu lalu ialah telekomunikasi dan media (RM9.3 juta), manakala tiga sektor teratas yang mencatat aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM425.8 juta).

“(Juga) produk dan perkhidmatan pengguna (RM308 .9 juta), dan produk serta perkhidmatan perindustrian (RM206.3 juta),” ujar MIDF, namun memaklumkan Bursa Malaysia terus disokong institusi tempatan.

Institusi tempatan menurut laporan itu telah merekodkan belian bersih RM1.79 bilion sepanjang minggu tersebut, berbanding pembelian ekuiti domestik bernilai RM430.7 juta minggu sebelumnya, sekali gus menjadi paras tertinggi dalam enam tahun.

“Ini adalah pembelian bersih minggu kelapan berturut-turut mereka. Dari segi hari, mereka telah membeli bersih selama 11 hari dagangan berturut-turut. Sementara itu, peruncit tempatan kekal sebagai penjual bersih untuk minggu keenam berturut-turut, 

“(Iaitu) dengan jualan bersih berjumlah RM195.8 juta. Mereka membeli bersih RM59.5 juta pada hari Isnin, tetapi menjadi menjual bersih untuk sepanjang minggu,” bentang laporan tersebut.

MIDF Research menyatakan, purata volum dagangan harian menyaksikan peningkatan secara menyeluruh, diterajui oleh institusi tempatan (30.2%), diikuti oleh pelabur asing sebanyak 28.4% dan peruncit tempatan sebanyak 19.5%.

Mengulas mengenai situasi antarabangsa, MIDF berkata minggu lepas, majoriti pasaran utama mengalami penurunan, dengan 17 daripada 20 indeks yang dipantau oleh firma penyelidikan itu mencatatkan kerugian.

“CSI 300 China mendahului dengan pertumbuhan 1.89%, diikuti oleh CAC 40 (0.14%), dan Purata Perindustrian Dow Jones, yang meningkat hanya sebanyak 0.01%. Penurunan ketara termasuk Ho Chi Minh VSE (7.97%), Nikkei 225 (6.21%) dan TAIEX (5.83%),” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/4/2024

- Advertisement -