Air pemangkin untuk kerjasama dan konflik

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

KULIM BANDAR BAHARU: Air merupakan nadi kehidupan dan juga pemangkin serta perlu dimanfaatkan dalam kehidupan harian.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia bersesuaian dengan Tema Sambutan Hari Air Sedunia tahun ini Water for Peace atau membawa maksud Air Untuk Keamanan.

Menurut beliau, setiap anggota masyarakat perlu sentiasa diingatkan bahawa air pemangkin untuk kerjasama dan konflik.

“Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Kedah tahun ini juga merupakan satu inisiatif Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) dengan kolaborasi bersama Jabatan Saliran dan Air (JPS) sebagai salah satu medium perantaraan kerajaan dan orang awam.

“Sambutan ini juga bertepatan dengan hasrat LSANK untuk mempromosikan lembaga berkenaan serta peranan dan fungsinya kepada semua warga Kedah dan Daerah Bandar Baharu khususnya,” jelas beliau pada ucapan perasmian sempena Sambutan Hari Air Sedunia 2024 Peringkat Negeri Kedah di Dataran Bandar Baharu Kulim, di sini, hari ini.

Katanya lagi, sambutan berkenaan terpaksa ditunda kepada 22 April disebabkan tarikh sebenar 22 Mac lalu jatuh pada bulan Ramadan.

Dalam pada itu ujar beliau, LSANK juga telah memperkenalkan LSANK Buddies iaitu aktiviti  utama  yang merujuk kepada pembersihan sungai bermatlamat meningkatkan kesedaran awam dan menyemai nilai murni cintakan sumber air dan alam sekitar.

“LSANK Buddies ini pertama kali diperkenalkan sebagai salah satu Corporate Social Responsibility (CSR) untuk bersama-sama memulihara dan memelihara sumber air di negeri ini agar terus terpelihara di masa hadapan,” tambahnya.

LSANK juga katanya telah mewujudkan sistem pemantauan dan penguatkuasaan yang berkesan dalam memastikan sumber air terpelihara dan kualitinya terjamin.

Mengulas lanjut, jelas Sanusi, Syarikat Air Darul Aman (SADA) setakat ini menggunakan air Sungai Kerian bagi menjalankan operasi tiga Lori Rawatan Air (LRA) iaitu LRA Mahang (8 MLD), LRA Lubuk Buntar 1 (14 MLD) dan LRA Lubuk Buntar 2 (25 MLD).

“Sungai Kerian ini terletak di utara Perak bersempadan dengan daerah Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang dan juga Bandar Baharu, Kedah,” jelas beliau lagi.

Selain itu, tambahnya, JPS Malaysia juga sedang menjalankan Kajian National Water Balance System (NAWABS) Sungai Kerian bagi memastikan sumber air dapat memenuhi keperluan sektor domestik, industri dan pengairan.

Oleh itu menjadi hasratnya untuk melihat kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, jabatan dan agensi bekerjasama merealisasikan pelaksanaan pengurusan sumber air negara secara bersepadu.

“Saya menyeru kepada semua pihak yang berkepentingan agar memberi perhatian, tumpuan serta mengambil tindakan yang berterusan memelihara sumber air terutamanya air bawah tanah demi memastikan ketersediaan air,” kata beliau lagi.

Sepanjang sambutan itu berlangsung, para hadirin disajikan dengan Pameran Mini, LSANK Buddies dan acara sukan rakyat seperti isi air di dalam botol, boling kelapa, terompah gergasi, tarik tali, pukul bantal, aktiviti river cruise serta cabutan bertuah. – HARAKAHDAILY 22/4/2024