Teruja pengalaman pertama pengarah Rumah Terbuka MB

Dato' Ustazah Siti Ashah Ghazali
- Advertisement -

ALOR SETAR: Sebanyak 44 gerai dengan berpuluh menu juadah disediakan kepada para pengunjung Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah, hari ini.

- Advertisement -

Pengarah sambutan, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, pihaknya dibantu petugas sukarelawan sama ada daripada agensi kerajaan mahupun petugas parti.

“Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah sendiri menyediakan 100 petugas di bahagian gerai, 40 (pramusaji) dan 20 protokol selain dari Pejabat Menteri Besar, Dewan Pemuda dan lain-lain,” jelas beliau ketika ditemui Harakahdaily pagi ini.

Dalam masa yang sama beliau yang juga Exco kerajaan negeri mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua yang terlibat.

Kerjasama itu katanya, sangat berharga memandangkan inilah merupakan pengalaman pertama beliau sebagai pengarah sambutan Rumah Terbuka Menteri Besar.

“Memang tak tidur malam, selagi program tak selesai. Walau bagaimanpun kerjasama dari semua pihak sangat membantu,” tambah beliau.

Rumah Terbuka Menteri Besar Kedah yang diadakan di Kediaman Rasmi, Seri Mentaloon bermula dari jam 11.00 pagi hingga 4.00 petang.

Antara selebriti yang hadir menghiburkan para pengunjung termasuklah Raja Pop Malaysia, Dato’ Jamal Abdillah, Mawi dan Acey.

Sementara Ashah turut mengingatkan hadirin agar mengambil makanan yang perlu sahaja dan mengelakkan pembaziran. – HARAKAHDAILY 18/4/2024

- Advertisement -