KOTA BHARU: PERIKATAN NASIONAL (PN) akan meneliti kesemua kandungan Memorandum Persefahaman (MoU) yang akan dikemukakan Kerajaan Madani berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS menyambut baik keputusan yang dibuat kerajaan dan berharap ia sebagai perkembangan positif.
“Kita sambut baik keputusan yang dibuat namun kita akan meneliti kandungan MoU terlebih dahulu.
“Kita juga berharap langkah ini akan mengembalikan fungsi semak imbang pembangkang yang lebih efektif dalam membangunkan negara.
“Peruntukan ini akan membantu rakyat dalam kawasan yang diwakili, khususnya berkaitan pembangunan setempat,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Aidilfitri anjuran PAS Kelantan, di sini, hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Fadillah Yusof dilapor berkata, mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan secara dasar bersetuju mempertimbang peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.
Bagaimanapun menurutnya satu draf MoU akan dirangka terlebih dahulu dan akan dipanjang kepada pembangkang sebagai langkah perundingan seterusnya. – HARAKAHDAILY 18/4/2024