KUALA LUMPUR: Filem arahan terbaharu Syafiq Yusof, Sheriff telah meraih kutipan melebihi RM1 juta dalam tayangan awal pada semalam, 17 April di pawagam.
Filem terbitan Skop Productions gandingan bersama Astro Shaw itu memulakan tayangan rasminya pada hari ini (18 April) di rangkaian panggung wayang seluruh negara.
Syafiq yang merangkap pengarah, serta penulis cerita asal dan lakon layar meluahkan rasa syukur dengan penerimaan positif daripada penonton.
“Melebihi RM1 juta. Alhamdulillah, atas sambutan memberangsangkan pada tayangan awal semalam. Ini adalah permulaan yang baik untuk Sheriff dan kami menjangkakan penonton akan pergi ke pawagam terutamanya pada hujung minggu ini,” ulas Syafiq.
Terdahulu, pengarah dan penerbit tersohor, Datuk Yusof Haslam yang merupakan Pengerusi Skop Productions dan Penerbit Eksekutif Bersama Sheriff, pada malam gala filem berkenaan semalam berkata, naskhah terbaharu produksinya itu merupakan karya genre paling jujur pernah dihasilkan.
Sementara itu, Shafiq menyifatkan filem yang dihasilkan dengan kos RM6 juta itu sebagai karya paling susah dihasilkan selepas filem-filem seperti KL Special Force (2018), Abang Long Fadil (2014) dan Polis Evo 3 (2023), susulan tempoh penggambarannya mencecah 81 hari.
Sheriff dibintangi pelakon Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Datuk Aaron Aziz, Azira Shafinaz dan Elizabeth Tan. – HARAKAHDAILY 18/4/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!