Andalusia buka jalan di tengah ketegangan Asia Barat

Ida Riswana (dua dari kiri), Che Zakiah (dua dari kanan), dan Md Daud (kiri) selepas Majlis MoU Andalusia dengan Saudi Airlines di Kuala Lumpur pada hari ini, 18 April 2024.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) tetap membuka jalan kepada jemaah haji dan umrah walaupun di tengah senario ketegangan di Asia Barat pada ketika ini.

Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, Andalusia belum ada membuat pembatalan pakej-pakej bulan Syawal atau pakej haji disebabkan senario terkini di Asia Barat susulan serangan Iran terhadap Israel pada 14 April lepas itu, dengan hampir 800 jemaah Andalusia berada di Makkah atau Madinah buat masa ini.

- Advertisement -

“Ketegangan di Asia Barat yang membuatkan orang ramai berasa khuatir dan gusar untuk terbang mengerjakan umrah dan haji. Setakat ini belum ada lagi pembatalan dan masih ramai yang ingin mengambil peluang ini.

“Sepertimana sebelum ini, ketika musim Covid-19 sekalipun, ramai lagi yang ingin mengerjakan ibadah ini kerana ini adalah tuntutan daripada diri sendiri bagi pandangan saya,” katanya usai Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Andalusia dan Saudi Airlines, di sini, hari ini.

Terdahulu MoU tersebut ditandatangani oleh Ida Riswana, manakala Saudi Airlines diwakili oleh Pengurus Kanannya, Che Zakiah Ahmad. Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md. Daud Che Ngah.

Sementara, Md. Daud berkata, pengendalian urusan jemaah haji dan umrah pada ketika ini bergantung kepada nasihat dan keputusan kerajaan.

“Tambahan pula, Arab Saudi telah membuka pintu seluas-luasnya kepada pelancongan dan ia mempunyai penerbangan ke pelbagai destinasi dalam dunia contohnya di Eropah, Vienna dan Austria dan negara-negara lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/4/2024

- Advertisement -