Jemaah umrah PERTIS selamat pulang ke tanah air

Kumpulan 30 jemaah dari PERTIS cawangan Brickfields, Kuala Lumpur yang ditaja Andalusia selamat tiba di KLIA pada hari ini, 30 April 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Srihayanis Abasri)
- Advertisement -

SEPANG: Seramai 30 jemaah umrah dari Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) yang ditaja oleh Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kira-kira jam 12.25 tengah hari tadi.

Ketibaan mereka disambut oleh Pengerusi Eksekutifnya, Dato’ Md Daud Che Ngah; Ketua Perniagaan (B2B) Airlines & Hotels, Yazid Mohamed; serta beberapa barisan pengurusan tertinggi dan kakitangan Andalusia di balai ketibaan Terminal 1 KLIA.

- Advertisement -

Beliau berkata, mereka merupakan golongan pertama jemaah orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan tanah air di bawah syarikat Andalusia.

“Alhamdulillah kita lihat penglibatan Andalusia menggabungkan semua orang yang memerlukan untuk pergi menunaikan umrah ini memanglah kita rasa, tidak sewenangnya kita boleh tawarkan pemberian bantuan kepada semua orang.

“Namun dalam golongan orang yang cacat penglihatan ini, kita rasa tersangat penting untuk kita bantu sebab sepanjang kami terlibat dengan agensi pelancongan ini, jarang kita dengar orang yang membantu OKU ini pergi (umrah) sedangkan, dia memerlukan pertolongan.

“Ini kerana kalau orang kurang penglihatan dari segi syarak yang hendak pergi menunaikan umrah dia perlu mengeluarkan dua perbelanjaan iaitu diri dan pembimbing, barulah ia menjadi wajib umrah atau haji,” katanya dalam sidang media di balai ketibaan Terminal 1 KLIA, di sini, hari ini.

Md Daud berkata, penglibatan Andalusia memandang secara prihatin kepada golongan yang memerlukan ini dengan menggabungkan kumpulan menjadi satu dan menyediakan mutawif yang terpilih.

“Kita pula boleh menggabungkan mereka dengan satu perjalanan yang mengatasi persamaan perjalanan mereka tidak ada lebih atau kurang iaitu kita memberikan kepada mereka 10 pembimbing untuk 30 jemaah.

“Seramai 10 pembimbing, ada kumpulan yang terdapat dua orang, seorang pembimbing; tiga orang, satu pembimbing mengikut kapasiti bilik yang mereka tinggal di sana.

“Jadi selain daripada itu, pembimbing ini pun dapat menunaikan umrah bersama-sama mereka, dan juga boleh menjadi penolong yang pada asalnya tidak,” katanya.

Tambah beliau, perkara ini merupakan suatu kebaikan yang dibuat oleh pihak syarikat Andalusia daripada sebuah perkhidmatan yang berbentuk kebajikan.

“Sebab Andalusia merupakan agensi pelancongan yang sedang naik dan berjaya sekarang Insya-Allah, jadi kita mahu rezeki yang Allah SWT berikan kepada kita itu, kita hanya nak mengagihkan kepada pemegang-pemegang saham kerana keuntungan yang besar.

“Maka, kita nak sama-sama menyumbang sedikit bagi membiayai orang-orang yang memerlukan pergi, maka ‘mereka’ pergi (menunaikan umrah).

“Jadi, saya rasa ini adalah merupakan satu daripada perkhidmatan yang kita beri berbentuk kebajikan yang membuka mata kepada kita semua bahawa menolong orang itu Allah Yang Memberi kepada kita rahmat yang paling tinggi,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/4/2024

- Advertisement -