PRK Kuala Kubu Bharu: PH hadapi ‘trust deficit’

Pemuda PAS sedia sambung gelombang perubahan rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH) disifatkan sedang berhadapan ‘trust deficit’ yang semakin ketara dalam kalangan rakyat ketika ini.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, perubahan sentimen semasa rakyat hingga berlakunya kehakisan kepercayaan ini adalah berpunca daripada Kerajaan Madani itu sendiri.

“Tidak lain tidak bukan disebabkan kelemahan prestasi pentadbiran dan tatakelola. Antara indikator utama yang menjadi punca kegagalan kerajaan sudah tentu berkait sentimen semasa ekonomi negara yang amat menggusarkan rakyat. 

“Kegagalan Kerajaan Madani mencapai sasaran asal KDNK negara pada 2023, kedudukan Ringgit yang terus melemah sehingga mencecah taraf paling rendah sejak 26 tahun lepas, serta rekod eksport negara yang semakin menurun.

“(Semua ini) menjadi antara bukti ekonomi negara berada dalam keadaan membimbangkan rakyat,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar dalam satu kenyataan.

Menurut Afnan, situasi ini seterusnya berkemungkinan besar membawa gelombang penolakan tanpa sedar oleh semua kaum terhadap pentadbiran PH dalam isu ekonomi dan kemandirian hidup rakyat yang semakin tertekan.

Bidasnya, sejak Kerajaan Madani pimpinan PH mengambil alih Kerajaan Pusat, pelbagai cukai baharu diperkenalkan serta peningkatan kadar SST 8 peratus dan peluasan skop cukai ini telah menaikkan lagi kos sara hidup rakyat.

Dalam masa sama katanya, isu asas seperti ketiadaan beras tempatan dalam pasaran gagal ditangani oleh kerajaan dengan serius, sedangkan aspek membabitkan periuk nasi rakyat dan hal-hal asasi adalah isu begitu sensitif di mana merentasi sentimen kaum dan agama.

“Pada masa yang sama, terdapat anjakan sokongan pengundi Melayu yang berpotensi meningkatkan undian terhadap calon daripada gabungan parti yang dilihat serius dan diyakini oleh kumpulan Melayu Islam.

“(Iaitu) dalam isu-isu membabitkan kepentingan Islam dan bangsa Melayu. Isu-isu sensitif melibatkan penghinaan dan campur tangan terhadap hal ehwal Islam sepertimana dilakukan oleh pemimpin utama DAP hanya dibiarkan berlalu begitu sahaja oleh pemimpin kerajaan lain.

“Bahkan, rakyat memerhati dengan jelas bahawa terdapat layanan pilih kasih oleh pemerintah terhadap isu-isu sensitif ini, termasuk pendirian lemah dan apologetik kerajaan terhadap isu pokok umat Islam.

“Seperti isu pengunaan kalimah Allah dalam Bible dan isu cabaran terhadap enakmen kanun jenayah syariah negeri, sudah pasti membawa imej yang tidak baik dalam kalangan pengundi Melayu Islam,” ujarnya.

Ketua Pemuda PERIKATAN NASIONAL (PN) ini juga berkata, tidak cukup dengan itu, rakyat turut disajikan dengan pelbagai retorik politik dan janji manis oleh Kerajaan Madani yang akhirnya gagal ditunaikan.  

Bidasnya, janji untuk menurunkan kos sara hidup, menyelesaikan masalah ekonomi, melaksanakan tatakelola baik, kebanyakannya dilanggar hingga pengundi Cina dan India semakin melihat PH sebagai kerajaan gagal kerana janji-janji yang tidak ditunaikan.

Peringat beliau dalam kenyataan itu, berpandukan realiti benar lagi pahit yang disenaraikan itu, maka jelas Kerajaan PH tidak boleh begitu selesa dalam menghadapi pilihan raya yang akan datang. 

“Pemuda PAS akan membuat persiapan rapi dan terperinci bagi menghadapi PRK Kuala Kubu Baharu yang akan menjelang kelak. Jentera pilihan raya di seluruh peringkat sudah mula diaktifkan sebagai persiapan PAS menyambut gelombang perubahan rakyat di Kuala Kubu Baru,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/4/2024

- Advertisement -