Raya: Kedah berjaya tangani gangguan bekalan air

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kedah berjaya menangani masalah gangguan bekalan air secara berkesan sepanjang musim perayaan kali ini.

- Advertisement -

Malah gangguan bekalan air kronik tidak berlaku berbanding musim perayaan tahun-tahun sebelum ini.

Sungguhpun begitu, kata Menteri Besar, Dato’  Seri Muhammad Sanusi Md Nor, masih terdapat beberapa tempat mengalami gangguan bekalan air namun tidaklah seteruk berbanding negeri lain.

“Bersyukur Kedah berjaya menangani masalah gangguan bekalan air secara berkesan sepanjang musim perayaan berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Mungkin ada sesetengah tempat berlaku gangguan bekalan namun tidaklah terjejas teruk.

“Ada negeri lain lagi teruk berbanding Kedah, jadi tak ada lah serangan macam dulu,” jelasnya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kedah, Dato’  Seri Norizan Khazali di sini, hari ini.

Walau bagaimanapun kata Sanusi, penggunaan musim perayaan meningkat dua kali ganda disebabkan perantauan pulang beraya.

Namun ujarnya, situasi tersebut dapat dikawal ekoran pelan kontingensi bekalan air musim perayaan diaktifkan lebih awal berbanding sebelum ini.

“Tahun ini 123 buah lori tangki air disediakan untuk agihan seluruh daerah dan jumlah ini tidak termasuk tangki statik dan penghantaran air ke kawasan terjejas

“Tidak banyak aduan dilaporkan dan tak jadi isu kali ni. Maknanya air ada walaupun hantar dengan lori,” tambah beliau.

Mengulas lanjut ujarnya, takungan empangan juga berada di tahap memuaskan dan dijangka mampu bertahan memandangkan musim kemarau semakin berakhir.

Justeru tiada keperluan untuk negeri itu memohon melakukan pembenihan awan, ekoran sehari dua ini hujan mulai turun, katanya. – HARAKAHDAILY 17/4/2024

- Advertisement -