Banjir: Khidmat Malaysia, Jabatan Amal siap siaga

Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa
- Advertisement -

SEREMBAN: Khidmat Malaysia (KM) dan Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Sembilan akan sentiasa bersiap siaga dalam membantu mereka yang terlibat dengan musibah seperti banjir.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa berkata, kedua-dua organisasi sukarelawan di bawah PAS ini bersedia membantu orang ramai kerana Allah.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting itu berkata demikian usai melakukan gotong-royong membersihkan beberapa premis terlibat banjir di Mambau, di sini, hari ini.

“Hari ini saya turun berkhidmat membersihkan kawasan di Mambau bersama Khidmat Malaysia Negeri Sembilan yang dipengerusikan oleh Ustaz Abdul Hadi.

“Menyantuni masyarakat sekitar dan bertanyakan khabar kepada mereka yang sedang mengalami musibah ini. Saya doakan agar dipermudahkan urusan buat mereka semua. Insya-Allah,” katanya.

Jelas beliau, kejadian banjir kilat itu berlaku malam tadi melibatkan kawasan tersebut disebabkan air Sungai Mambau naik mendadak akibat hujan lebat yang berlaku.

“Alhamdulillah saya bersama 10 orang lagi aktivis Khidmat Malaysia membersihkan enam buah rumah dan sebuah surau iaitu Surau Batu 3 Mambau.

“Kita juga menyantuni penduduk terjejas, menyumbangkan tenaga bersihkan jalan raya dan perumahan atas pesetujuan tuan rumah,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu turut meminta agar orang ramai sentiasa berjaga-jaga terhadap kemungkinan berlaku lagi banjir di lokasi masing-masing.

Tambah beliau, orang ramai juga diharapkan agar sentiasa melakukan persediaan awal untuk mengelakan perkara yang tidak diingini dari berlaku sekiranya banjir melanda lagi. – HARAKAHDAILY 17/4/2024

- Advertisement -