Perlu pasukan petugas menyeluruh atasi banjir kilat

- Advertisement -

MASJID TANAH: Kejadian banjir kilat yang sering berulang di kawasan Masjid Tanah memerlukan satu pasukan petugas (taskforce) menyeluruh yang melibatkan pelbagai agensi dan jabatan bagi menanganinya.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, taskforce tersebut bukan sekadar untuk tindakan kecemasan atau bantuan, tetapi meliputi perancangan jangka panjang mengatasinya.

“Saya dah suarakan banyak kali perkara ini tetapi tidak pernah diwujudkan. Kita nak suatu taskforce atau jawatankuasa yang bukan hanya berbincang tentang bantuan apabila berlaku banjir, soal perpindahan dan sebagainya.

“Tetapi taskforce ini juga perlu membincangkan tentang langkah-langkah jangka panjang, dari sudut pembangunan projek-projek yang diperlukan bagi mengatasi banjir,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily usai mengadakan lawatan ke beberapa lokasi terlibat dengan banjir kilat dalam kawasan parlimen itu. (Foto atas)

“Sebagai contoh, untuk di Masjid Tanah ini sepatutnya kita ada empangan Sungai Jernih yang pembinaannya telah bermula pada tahun 2021 dan sepatutnya siap pada tahun ini. Empangan ini sepatutnya mampu untuk mencegah banjir sekiranya ia mula beroperasi.

“Namun sehingga kini ia dikatakan bermasalah dan masih lagi belum mencapai peratus siap yang sepatutnya. Jadi kita nak supaya taskforce ini membincangkan sehingga ke tahap ini,” ujarnya.

Namun, jelas beliau, apa yang berlaku ialah beliau sering diketepikan malah tidak dilibatkan dalam apa-apa perbincangan tentang perkara itu hanya kerana beliau Ahli Parlimen pembangkang.

Tambahnya, sebagai Ahli Parlimen beliau juga mempunyai peranan bagi mengasak mana-mana kementerian terbabit bagi mempercepatkan apa-apa projek berkaitan dengan usaha mencegah banjir.

“Malah saya sendiri sudah bercakap dan menyuarakan dalam sidang Dewan Rakyat tentang lokasi-lokasi yang memerlukan perhatian kerajaan kerana kerap berlaku banjir.

“Setakat ini banyak sudah diberi perhatian oleh kerajaan Persekutuan. Namun masih ada lagi beberapa perkara yang masih belum diambil tindakan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah menambah, pegawai-pegawai jabatan dan agensi kerajaan berkaitan ada mengadu kepadanya tentang isu kekurangan bajet dalam memperbaiki infrastruktur bagi mengatasi banjir.

Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku sehingga menyusahkan rakyat yang berdepan dengan isu banjir kilat yang berulang akibat infrastruktur yang tidak sempurna.

Tambahnya, daripada lawatan-lawatan ke kawasan-kawasan terjejas banjir, beliau dapat melihat kekecewaan rakyat terhadap kejadian banjir kilat yang sering berulang itu.

“Mereka sudah letih. Saya rasa bantuan pun tidak akan dapat melegakan mereka sebab mereka sudah terlalu kecewa dengan apa yang berlaku. Mereka dah mengalami banyak kerugian akibat banjir.

“Mereka mahu satu penyelesaian yang sempurna. Mereka mahu kerajaan ambil apa sahaja tindakan asalkan banjir tidak berlaku lagi. Mereka sudah letih dengan semua ini,” katanya lagi.

Kejadian banjir kilat yang mula berlaku kira-kira jam 8 malam Selasa itu melibatkan beberapa kawasan antaranya Pekan Lubok China; Taman Masjid Tanah Ria; Kampung Taboh Naning dan Kampung Sungai Jerneh namun tidak melibatkan pemindahan mangsa. – HARAKAHDAILY 17/4/2024

- Advertisement -