Pengeluaran padi di Mukim Kemudu tidak terjejas

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Biarpun fenomena El Nino melanda banyak negeri sekarang, namun pengeluaran padi di Mukim Kemudu Bongkok tidak banyak terjejas.

- Advertisement -

Pesawah di kawasan terbabit menuaikan sebanyak 4.2 tan per hektar yang membabitkan kawasan seluas 172 hektar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, petani di Mukim Kemudu Bongkok di DUN Gaal mengusahakan tanaman padi di bawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu IADA Kemasin Semerak.

Katanya, pengeluaran padi berkenaan suatu jumlah yang agak memuaskan.

“Bagaimanapun kita akan berusaha untuk mempertingkatkan lagi hasil padi. Saya bersama Adun Gaal Ustaz Mohd Rodzi Jaafar turun ke sawah untuk melihat sendiri keadaan padi yang dituai.

“Kami juga mengadakan dialog bersama pesawah di Mukim Kemudu Bongkok bagi membincang usaha meningkatkan hasil pada musim akan datang,” katanya pada Majlis Hari Raya Aidilfitri bersama pesawah semalam.

Turut hadir bersama wakil Pengarah IADA kemasin Semerak, petani Mukim Kemudu Bongkok dan wakil Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB).

Menurutnya juga antara usaha bagi meningkatkan pengeluaran padi menggunakan baja organik, baja foliar dan inisiatif-inisiatif lain.

Bagaimanapun beliau turut bimbang fenomena El Nino menyebabkan pengeluaran padi merosot berbanding sebelum ini.

“Semoga usaha kita untuk menjamin sekuriti makanan negara akan menjadi kenyataan, Insya-Allah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/4/2024

- Advertisement -