‘Adakah ini Kerajaan 69?’ – Fadhli Shaari

Semakan kehakiman Najib: Anwar wajib tampil jelaskan!

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim wajib tampil menjelaskan isu semakan kehakiman bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkaitan pengampunan diterimanya, demikian gesa Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Pasir Mas itu mendesak demikian ekoran wujud perbezaan kenyataan serta afidavit dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Senator Tengku Dato’ Sri Utama Zafrul Aziz.

“Kenapa Dato’ Seri Zahid berbeza dengan Tengku Zafrul? Adakah wujud pelanggaran oleh kerajaan terhadap titah Agong? Sudah kacau haru biru semuanya, ini dah jadi Kerajaan 69. PMX wajib tampil menjelaskan!” desak beliau.

Lembaga Pengampunan mengumumkan pengurangan hukuman daripada 12 tahun kepada 6 tahun penjara, serta denda RM210 juta kepada RM50 juta hujung Januari lalu, namun pihak Najib mendakwa wujud Titah Adendum yang tidak diumumkan hingga membawa kepada semakan kehakiman itu.

Titah Adendum atau tambahan yang didakwa ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu dikatakan membenarkan Najib menjalani tempoh hukuman penjara telah dikurangkan kepada 6 tahun itu dilaksanakan di rumah.

Keputusan Lembaga Pengampunan itu terlebih dahulu dilaporkan oleh media Singapura sebelum pengumuman rasmi dibuat, sedangkan beberapa pemimpin negara ketika itu lebih bernada menafikannya, termasuk menyatakan tidak tahu-menahu mengenai dekri tambahan untuk tahanan rumah tersebut.

Namun, secara tiba-tiba Ahmad Zahid memfailkan afidavit di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April baru-baru ini bahawa beliau telah melihat dan membaca dengan jelas isi kandungan Titah Adendum itu setelah dimaklumkan kewujudannya dan ditunjukkan oleh Tengku Zafrul.

Afidavit diikrarkan itu menyokong permohonan semakan kehakiman oleh Najib serta mengesahkan selepas itu bahawa Titah Adendum dilihatnya menerusi telefon Tengku Zafrul itu tulen sebagaimana salinan asal ditunjukkan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Senator Menteri tersebut.

Zafrul bagaimanapun dalam satu kenyataan semalam memberitahu akan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi bagi memfailkan afidavit membetulkan beberapa kesilapan fakta yang terkandung dalam afidavit difailkan oleh Ahmad Zahid berkaitan Titah Adendum.

Ekoran itu, ia menimbulkan spekulasi dan pertanyaan oleh banyak pihak di mana rata-rata berpandangan terdapat sesuatu yang tidak kena dalam afidavit diikrarkan Zahid itu, sekali gus mahu perkara sebenar dijelaskan. – HARAKAHDAILY 18/4/2024

- Advertisement -