Pelaburan asing: Kerajaan perlu tingkatkan keyakinan rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan PH-BN digesa meningkatkan keyakinan rakyat dengan mengamalkan integriti dan patuh pada janji, serta berusaha meningkatkan keyakinan pelabur bagi membaikpulih pelaburan asing terus dalam negara yang memberi kesan jangka masa panjang.

Profesional Istiqamah melalui kenyataannya berkata, kerajaan juga tidak wajar menjadikan polisi ekonomi yang terlalu bergantung kepada falsafah ekonomi politik Barat seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam menentukan hala tuju ekonomi negara.

- Advertisement -

“Pembuatan dasar negara mestilah berdasarkan realiti dan kebijaksanaan setempat yang lebih sesuai dengan sumber dan realiti ekonomi Malaysia. Ke mana hala tuju (ekonomi) negara,” tegas kenyataan tersebut.

Ringgit Malaysua menurut Profesional Istiqamah, terus jatuh menjunam mencapai nilai terendah sejak 26 tahun yang lepas dan meskipun faktor luar sering dipersalahkan, namun kadar Ringgit kekal konsisten semakin menjunam sejak 2023 lagi.

“Ia menandakan usaha yang dibuat kerajaan selama ini kekal tidak berjaya untuk meningkatkan permintaan terhadap Ringgit (dan) antara faktor yang mempengaruhi nilai Ringgit sudah tentu kadar eksport dan imbangan dagang negara.

“Dapatan oleh BNP Paribas, portal penyelidikan ekonomi pada awal 2024 faktor merosotnya Ringgit adalah disebabkan penurunan current account (akaun semasa) surplus (lebihan) yang disebabkan, terutamanya oleh kejatuhan lebihan perdagangan dan aliran keluar modal bersih yang besar pada 2023,” tambah kenyataan tersebut.

Terkini menurut kenyataan itu, pelabur pula terus menjual saham pasaran negara berminggu-minggu lamanya secara berturut-turut.

Dalam pada itu, MIDF Research mencatatkan rekod tujuh minggu berturut-turut pelabur asing di Bursa Malaysia mencatatkan trend jualan bersih dengan aliran keluar sebanyak RM373.5 juta

“Statistik dikeluarkan DOSM (Jabatan Perangkaan Malaysia) juga menunjukkan unjuran perdagangan runcit yang kekal rendah dan tidak meningkat begitu signifikan sejak beberapa bulan lepas.

“Ia menandakan kuasa beli rakyat yang semakin kecil dan rakyat bahawasanya sedang berjimat. Kerajaan pula terus melaksanakan langkah penjimatan yang lebih menjerut ekonomi rakyat.

“Terbaharu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli akhirnya mengakui bahawa pemansuhan subsidi minyak akan dilaksanakan secara berperingkat tahun ini.

“Apakah mekanisme subsidi bersasar yang sehingga sekarang belum diumumkan mampu menampung kesan peningkatan kos sara hidup akibat kesan berantai pemansuhan subsidi?

“Oleh sebab itu, sentimen ketidakyakinan rakyat semakin menebal dan perkara ini bukanlah omong kosong semata-mata.

“Hal ini sejajar dengan dapatan oleh firma penyelidik pasaran Ipsos yang mendapati statistik Rakyat Malaysia yang mempercayai negara sedang menuju ke arah hala tuju yang salah meningkat daripada 26 peratus pada Januari 2023 kepada 47 peratus pada Mac 2024,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/4/2024

- Advertisement -