Kedah sedia bantu jayakan Aidilfitri Madani

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan negeri sudah menyediakan wishlist untuk menyambut Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sempena program Aidilfitri Madani pada 4 Mei ini.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama pemimpin berkenaan pada malam sebelum majlis tersebut berlangsung.

“Sebelum majlis Aidilfitri Madani itu berlangsung, sebelah malam, pihak kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan Anwar di Wisma Darul Aman bagi membincangkan hal berkaitan pembangunan negeri,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Ujar Sanusi, pihaknya mengharapkan wishlist itu dapat ditunaikan Perdana Menteri memandangkan permintaan itu kecil-kecil sahaja.

“Saya akan beritahu Perdana Menteri dulu apa dia, selepas itu barulah beritahu wartawan,” tambahnya berseloroh apabila pihak media ingin mengetahui wishlist tersebut.

Dalam pada itu, tegasnya lagi, kerajaan negeri juga akan turut membantu menjayakan Majlis Aidilfitri Madani menjayakan program berkenaan.

Terdahulu, Perdana Menteri memaklumkan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 akan diadakan di tujuh negeri bermula di Johor (18 April), diikuti Sabah (20 April), Melaka (22 April), Kelantan (2 Mei), Kedah (4 Mei), Pulau Pinang (5 Mei) dan berakhir di Terengganu pada 9 Mei.

Sementara Sabah akan menjadi tuan rumah bagi sambutan di peringkat kebangsaan. – HARAKAHDAILY 18/4/2024

- Advertisement -