Gunung Berapi Ruang meletus: 12,000 penduduk terjejas

Gunung Berapi Ruang selepas meletus dan menghasilkan gumpalan lava, batu dan debu dijangka selama berhari-hari.(FOTO: Dailypost.id)
- Advertisement -

JAKARTA: Indonesia menutup operasi lapangan terbang dan memindahkan ratusan penduduknya yang tinggal di kawasan sekitar Gunung Berapi Ruang selepas ia meletus dan menghasilkan gumpalan lava, batu dan debu selama berhari-hari, maklum pegawai pada Khamis yang mengisytiharkan keadaan berjaga-jaga tahap tinggi.

Letusan yang berlaku di wilayah Sulawesi Utara itu telah menghasilkan lava merah api, batu pijar dan debu setinggi tiga kilometer ke udara.

- Advertisement -

Sementara itu, video di laman sosial menunjukkan langit di atas gunung Ruang bertukar menjadi ungu akibat letusan berkenaan.

“Kita terpaksa berlari. Kita mengelakkan diri daripada debu yang semakin hampir”, ujar seorang saksi yang merakam kejadian letusan tersebut sambil menyelamatkan diri.

Dianggarkan seramai 800 penduduk telah dipindahkan dari lokasi berkenaan, dengan pihak berkuasa telah memperluaskan zon pemindahan selepas agensi vulkanologi meningkatkan status tahap berjaga-jaga.

“Potensi untuk letusan berlaku sekali lagi masih tinggi, jadi kita perlu kekal berjaga-jaga”, ujar pegawai, Heruningtyas Desi Purnamasari ketika ditemui Reuters.

Letusan Gunung Berapi Ruang menghasilkan debu setinggi 3 kilometer ke udara. (FOTO: The New York Times)

Beliau juga menambah bahawa pihaknya menerima laporan bahawa batu-batu dan debu yang jatuh telah memusnahkan rumah di kawasan sekitar, dan memaksa hospital berdekatan melakukan pemindahan.

Sementara itu, pihak berkuasa pengangkutan menutup operasi lapangan terbang di ibu kota wilayah Manado bagi mengelakkan daripada hujan debu akibat daripada letusan gunung berkenaan.

Insiden gunung berapi itu juga menyebabkan syarikat penerbangan tambah murah AirAsia telah membatalkan penerbangan di sembilan lapangan terbang sekitar Borneo dan Brunei selepas pihak berkuasa penerbangan memberikan amaran mengenai ancaman keselamatan.

Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana, Abdul Muhari berkata, pihak keselamatan dalam pada itu telah melakukan kepungan seluas 6 kilometer dari kawasan gunung berapi dan masih melakukan operasi pemindahan, yang turut melibatkan penduduk di sekitar pulau Tagulandang.

“Sekitar 1,500 penduduk di kawasan berisiko tinggi perlu dipindahkan segera, sementara 12,000 penduduk akan terjejas,” katanya. – Agensi – HARAKAHDAILY 18/4/2024

- Advertisement -