KOTA BHARU: Sehingga sekarang belum pernah berlaku kejadian tanah mendap membabitkan telaga tiub yang banyak terdapat di Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, setakat ini belum ada lagi kes berkenaan berlaku di negeri itu.
“Kita sedang membuat kajian yang mana lebih jimat serta mudah mengenai penggunaan sumber air dari telaga tiub atau sungai,” katanya ketika ditemui pemberita sempena sambutan Hari Raya Kompleks Kota Darulnaim hari ini.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan pada kenyataan media semalam melahirkan rasa bimbang fenomena penggalian telaga tiub di negeri itu dikhuatiri boleh mengundang risiko berlaku mendapan tanah.
Dr Izani juga berkata, dari segi teori mungkin boleh berlaku tanah mendap di lokasi telaga tiub, namun kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku lagi.
Menurutnya juga telaga tiub menjadi pilihan ramai penduduk di Kelantan bagi mendapat sumber air alternatif.
“Di Kelantan sekarang terdapat 42 telaga tiub yang digunakan Air Kelantan Sdn Bhd untuk mendapatkan sumber air,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/4/2024