Kelantan anjur lagi solat sunat istisqa’

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan mengadakan lagi solat sunat istisqa’ untuk memohon hujan sekiranya keadaan kemarau di negeri itu masih berterusan.

- Advertisement -

Menteri Besar Datuk Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, arahan berhubung perkara itu sudah dimaklum kepada pimpinan masyarakat di seluruh negeri.

Katanya solat sunat istisqa’ hendaklah dipimpin imam-imam di peringkat kampung. 

“Apabila berdepan dengan keadaan panas adalah disunat untuk mengadakan solat sunat istisqa’ bagi memohon pertolongan supaya Allah menurunkan hujan,” katanya ketika ditemui pemberita pada sambutan hari raya di Kota Darulnaim hari ini.

Selasa lepas kerajaan negeri menganjurkan solat sunat istisqa’ di seluruh Kelantan. Malah sebelum itu arahan solat sunat istisqa’ diadakan di peringkat kampung.

Menteri Besar berkata, biarpun sebelum ini solat berkenaan diadakan di 14 kawasan Parlimen, namun solat memohon hujan itu akan diadakan lagi.

“Alhamdulillah selepas mengadakan solat sunat Istisqa’ sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri, hujan turun agak lebat pada pagi hari raya pertama dengan izin Allah,” katanya.

Beliau turut menasihatkan kepada orang ramai supaya mengehadkan aktiviti di luar rumah khususnya kanak-kanak memandangkan cuaca panas sekarang.

Katanya, jika tidak ada keperluan mendesak, sebaiknya tidak keluar rumah disebabkan cuaca panas belum berakhir.

“Ingin saya peringatkan perlunya mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian strok haba.

“Baru-baru ini berlaku satu kematian membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dari Bachok akibat strok haba,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/4/2024

- Advertisement -