Warga Kota Bharu berpeluang beramah mesra MB

Rohani Ibrahim
- Advertisement -

KOTA BHARU: Khamis ini ribuan rakyat Kelantan dijangka menghadiri Rumah Terbuka PAS Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

- Advertisement -

Dan pada Sabtu pula program serupa dianjurkan PAS Kota Bharu di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam bermula jam 10.30 pagi hingga 2 petang.

Pengarah Rumah Terbuka Aidilfitri Kota Bharu Rohani Ibrahim berkata, program tahunan PAS Kota Bharu itu diadakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Katanya ia sebagai tanda kesyukuran di samping meraikan warga Kota Bharu selepas sebulan menjalani ibadat di bulan Ramadan.

“Pelbagai juadah akan disediakan termasuk nasi gulai kawah, sate, laksa, laksam dan enam ekor kambing bakar,” katanya di sini. 

Di samping itu, ujarnya kanak-kanak pula akan menerima duit raya disampaikan oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Sehubungan itu katanya Takiyuddin yang juga Yang Dipertua Kota Bharu menjemput warga Kota Bharu memeriahkan program tersebut.

Rohani yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, program tersebut dijangka turut dihadiri Menteri Besar Datuk Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dan pimpinan kerajaan negeri.

Menurutnya warga Kota Bharu yang datang pada program tersebut berpeluang beramah mesra dengan menteri besar (MB) dan pimpinan kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 16/4/2024

- Advertisement -