Lebih baik tanam padi huma berbanding ubi kayu

- Advertisement -

SIK: “Daripada tanam ubi kayu, baik tanam padi. Ubi kayu ini buat kembung perut sebab angin, padi huma sedap dan ‘kejap’ (selesakan) perut.”

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata demikian, ketika menyarankan orang ramai supaya menanam padi huma berbanding ubi kayu dalam usaha menambah bekalan beras negara.

Menurutnya, daerah Sik disasarkan menjadi hub padi huma atau padi bukit dengan proses penanaman diusahakan golongan asnaf fakir miskin di kawasan tersebut.

“Projek perintis itu akan dibuat di kawasan seluas enam hektar di Kampung Chepir seawal Jun tahun ini.

“Projek penanaman padi huma ini akan diusahakan oleh golongan asnaf dan melibatkan tiga peserta dalam kalangan golongan berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan benih padi huma di Kampung Radik, Chepir, di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, projek di bawah seliaan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) pada permulaannya menyasarkan penanaman varieti benih padi ‘Tok Ya’ memandangkan ia dilihat lebih sesuai dan mudah untuk dikomersialkan.

Padi huma juga, ujar beliau, ditanam di kawasan tanah darat tanpa genangan air dan proses penanaman dilakukan secara tradisional.

Sementara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZNK, Dato’ Zakaria Othman berkata, tempoh penanaman padi huma lebih singkat iaitu tempoh tuaian 100 hari di samping hasilnya yang berat serta memberangsangkan.

“Berdasarkan eksperimen yang dilakukan di tapak percubaan, satu kilogram varieti benih padi Tok Ya mampu memberi pulangan hasil sehingga 80 kilogram padi ketika tuaian,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/4/2024

- Advertisement -