Menilai Syiah dan Iran

- Advertisement -

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُونُوا۟ قَوَّ ٰ⁠مِینَ لِلَّهِ شُهَدَاۤءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا یَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰۤ أَلَّا تَعۡدِلُوا۟ۚ ٱعۡدِلُوا۟ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِیرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ *

- Advertisement -

[Surah Al-Māʾidah: 8]

Maksudnya:

Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana ALLAH, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Masyarakat Malaysia yang berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah sudah tentu tidak dapat menerima penyusupan fahaman-fahaman yang bercanggah dengan akidah tersebut ke dalam umat Islam di negara ini.

Pendidikan Islam berteraskan akidah ahli Sunnah wal Jamaah yang diterapkan memberi kefahaman kepada kita tentang kebenaran mazhab ini dan kepincangan firaq yang lainnya.

Maknanya pegangan kita terhadap akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah berdasarkan ilmu dan kefahaman, bukannya taqlid buta atau sentimen semata-mata. 

Namun begitu, dalam keadaan kita menilai dan menghukum pihak lain, al-Quran mengajar kepada kita untuk bersikap adil, objektif dan bebas daripada sentimen.

“… jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.”

Kita diajar untuk bencikan kekufuran, kezaliman dan bid’ah, dan kita umat Islam juga diperintahkan untuk menyelamatkan manusia daripada kekufuran dan bid’ah secara berhikmah dan mau’izhah hasanah.

Kita benci dan menentang Israel bukan atas dasar permusuhan dan kebencian terhadap kaum Yahudi, tetapi atas perbuatan kufur dan zalim mereka.

Kalau bencikan kaum Yahudi atas sebab perkauman, isteri Baginda ﷺ sendiri ada yang daripada keturunan suku kaum Yahudi, iaitu Sayyidah Shafiyyah binti Huyay radhiyal-LAHU ‘anha.

Bahkan berapa ramai sahabat, tabi’in dan umat kemudiannya daripada asal keturunan Yahudi yang kemudiannya memeluk Islam.

Kaum Yahudi ialah sebahagian daripada kaum-kaum manusia yang lain, yang ada yang baik dan ada yang jahat.

Begitu jugalah halnya dengan kaum Syiah.

Kita bukan benci mereka atas sebab tasyayyu’ (berpihak kepada Ahlilbait Rasulillah ﷺ ) mereka, tetapi kita ahli Sunnah membenci sikap ar-rafdh.

Gejala ar-rafdh ini terzahir apabila terdapat golongan yang menolak berjuang bersama Imam Zaid bin Ali Zainil ‘Abidin bin Husain bin Ali bin Abi Thalib yang bangkit menentang kebobrokan penguasa, atas alasan dangkal bahawa Imam Zaid bertegas berwala’ menjunjung Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar radhiyal-LAHU ‘anhu dan tidak bertabarri dengan kedua-dua sahabat Nabi ﷺ ini.

Sedangkan para Imam Ahli Sunnah Wal Jamaah menyokong perjuangan Imam Zaid, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Sokongan Ahli Sunnah Wal Jamaah terhadap Imam Zaid ini dinyatakan oleh Imam Muhammad bin Ibrahim al-Wazir dalam al-‘Awashim wal Qawashim fidz Dzabb ‘An Sunnati Abil Qasim.

Dalam masa yang sama, ahli Sunnah juga membenci sikap an-nashb yang menjadi punca kepada munculnya ar-rafdh (rujuk kemusykilan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkenaan tauthiq ahli jarh wa ta’dil terhadap an-Nashibi secara ghalib, dan tauhin mereka terhadap Syiah secara mutlak dalam Tahdzib at-Tahdzib, terjemahan Limazah bin Zabbar al-Azdi Abu Labid al-Bashri dan rujuk juga komentar Sheikh Mahmud Said Mamduh dalam al-Ittijahat al-Hadithiyyah m/s: 577).

Adakah semata-mata tasyayyu’ itu merupakan bid’ah yang tercela?

Imam adz-Dzahabi dalam Mizan al-I’tidal, terjemahan Aban bin Taghlib al-Kufi, beliau menyatakan tasyayyu’ yang ghuluw dan tasyayyu’ yang tidak ghuluw merupakan bid’ah kecil yang ada pada kebanyakan Tabi’in dan Tabi’ Tabi’in bersama dengan agama, warak dan shidiq. Sekiranya ditolak hadis mereka maka hilanglah sejumlah athar nabawiyyah dan ini tentulah suatu mafsadah yang jelas.

Namun kenyataan beliau yang mengkategorikan tasyayyu’ dalam erti kata kasih kepada Ahlilbait sebagai bid’ah kecil telah disangkal oleh sebilangan ulama, kerana tasyayyu’ Ahlilbait Rasulillah ﷺ bukanlah bid’ah bahkan ianya sunnah para salafus sholih , yang diamalkan oleh ramai para Sahabat, Tabi’in dan Tabi’ Tabi’in seperti yang dinyatakan oleh Imam Dzahabi sendiri.

Bahkan Sheikh Ibn Taimiyyah yang agak kurang beradab ketika membicarakan tentang kedudukan para Imam Ahlilbait dalam Minhaj as-Sunnah, mungkin faktor beliau terlalu beremosi dalam menolak hujah Muhaqqiq Ibn Muthahhar al-Huliyy dalam Minhaj al-Karamah, Sheikh Ibn Taimiyyah mengakui bahawa ahli Sunnah wal Jamaah:

يتبرؤون من طريقة الروافض الذين يبغضون الصحابة و يسبونهم، و طريقة النواصب الذين يؤذون أهل البيت بقول و عمل.

Mereka berlepas diri daripada cara golongan Rawafidh yang membenci para Sahabat radhiyal-LAHU ‘anhum dan memaki mereka, dan cara golongan Nawashib yang menyakiti Ahlilbait radhiyal-LAHU ‘anhum dengan perkataan dan perbuatan. 

Jadi pendirian kita Ahli Sunnah Wal Jamaah apabila berdialog dengan Syiah, kita tegaskan bahawa kita berwala’kan para Ahlilbait Rasulillah ﷺ dan berlepas diri daripada tergolong dalam kumpulan Nawashib, dan kita juga mengikuti pendirian para Imam Ahlilbait seperti Imam Zaid dan Imam Ja’far ash-Shadiq yang mengasihi dan berwala’kan Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar radhiyal-LAHU ‘anhum.

Golongan Syiah tidak kurang golongan intelektual yang berakal untuk kita Ahli Sunnah membuka wacana dan dialog intelektual dengan mereka. 

Jika tidak masakan mereka mampu mencipta senjata sendiri dan melangsungkan pemerintahan sebuah negara yang dikenakan sekatan ekonomi oleh kuasa Barat.

Tak perlulah menilai mereka berdasarkan perlakuan golongan sufaha’ antara mereka. Dalam semua kelompok ada sahaja golongan sufaha’ yang tidak berbaloi untuk diberi perhatian serius.

Sebab itu Tuan Guru Haji Abdul Hadi, Presiden PAS menyeru umat Islam seluruhnya agar bersatu dalam menghadapi musuh yang nyata, kemudian setelah selesai konflik dengan Zionis dan Salibi maka berbahaslah secara ilmiyyah dengan segala firaq yang ada.

Bagaimana pula sikap kita terhadap Iran, negara republik Syiah?

Kita sebagai Ahli Sunnah di Malaysia sememangnya didedahkan dengan pengaruh Ahli Sunnah dan ditapis pengaruh selainnya.

Dari sudut sejarah, kita lebih bersentimental dengan kegemilangan Uthmaniyyah yang bermazhab Sunnah.

Mungkin kita tidak pernah mendengar atau didedahkan tentang kerajaan Shafawiyyah.

Pertembungan antara Uthmaniyyah dan Shafawiyyah merupakan satu lembaran sejarah umat Islam yang kita perlu kaji agar kita dapat memahami mengapa konflik Sunni-Syiah ini begitu meruncing.

Kita di Alam Melayu ini mungkin tidak terjebak dengan sentimen kebencian perkauman Arab-Parsi-Turki, kerana faktor konflik ini bukan sahaja disebabkan perbezaan mazhab, malah atas dasar rasisme.

Malah lebih daripada itu, ada yang membenci Iran hanya sebab faktor kejayaan revolusi rakyat Iran yang menjauhkan rejim sekular dan mengasaskan sistem pemerintahan berdasarkan prinsip Islam, dalam konteks Iran tentulah mazhab Syiah.

Dalam dunia moden sekarang ini, ada 2 negara yang menggunakan nama Republik Islam, pertamanya Pakistan dan yang kedua Iran.

Dalam artikel Prof. Madya Dr. Abdullah Abu Bakar bertajuk Konsep Pemerintahan Islam Dan Pendekatannya Dalam Masyarakat Majmuk; Interpretasi dan Huraian Ulama Dahulu dan Sekarang, mengkaji tentang perlembagaan kedua-dua negara republik Islam ini.

Artikel 12 Perlembagaan Iran menyatakan:

Agama rasmi negara Republik Islam Iran ialah Islam mengikut mazhab Ja’fari 12 Imam, sementara mazhab-mazhab lain seperti Hanafi, Syafie, Hanbali dan Zaidi tetap dihormati dan pengikut mazhab itu bebas mengamalkan mengikut fiqh mereka.

Jadi jelas di sini bahawa Republik Syiah Iran lebih bersikap terbuka dalam meraikan kepelbagaian mazhab dalam Islam.

Perkara ini termaktub dalam dokumen rasmi perlembagaan sebuah negara berdaulat, jadi kurang sesuai kalau ada pihak yang masih bersikap curiga kemungkinan ini adalah taqiyyah syiah!

Saya hanya menilai secara objektif tentang isu Syiah dan Iran dengan perpegang pada ayat 8 surah al-Maidah , bukan bermakna saya pro Syiah atau Iran!

USTAZ MUHAMMAD RIF’AAT RAZMAN
Pengerusi 
Lajnah Dakwah 
Dewan Ulamak PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 17/4/2024

- Advertisement -