KDN FC tampil sembilan pemain import

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) menyenaraikan tiga lagi pemain import bagi melengkapkan skuad Liga Supernya dalam menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

- Advertisement -

KDN FC kini mempunyai sembilan pemain import bagi mempertahankan skuad kijang emas itu pada saingan tahun ini.

Presiden KDN FC Rozi Muhamad berkata, tiga pemain import berkenaan Chadrack Lukombe Muzungu dari Congo, David Ribera Viana dari Bolivia dan Valdumar Augusto Te dari Guinea.

Menurutnya ketiga-tiga pemain terbabit menandatangani kontrak selama semusim, sekali gus menyaksikan pasukan tersebut lengkap sepenuhnya.

“Ketiga-tiga pemain terbabit pernah beraksi bersama skuad kebangsaan di negara masing-masing.

“Kehadiran mereka melengkapkan senarai sembilan pemain import bagi memperkuatkan KDNFC,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak di bilik media, Stadium Sultan Muhammad Ke-1V di sini semalam.

Rozi juga berharap kesemua pemain import terbabit akan memberi kesan bagi membantu pasukan menghadapi saingan yang lebih mencabar.

Menurut juga ketua jurulatih KDN FC akan diumumkan dalam masa terdekat.

Selain itu KDN FC turut mengatur beberapa perlawanan persahabatan bermula 17 April ini menentang Pattani FC, disusuli dengan pasukan Liga Super dan aksi persahabatan antarabangsa dengan kelab dari Indonesia.

Sementara itu, Chadrack Lukombe berkata, beliau akan berusaha memastikan KDN FC berada di kedudukan yang terbaik pada musim ini. – HARAKAHDAILY 16/4/2024

- Advertisement -