PAS konsisten dukung perjuangan bebas bumi Palestin

Tolak agenda 'two-state solution' dan Israel Raya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS konsisten dengan satu pendirian tetap dan tidak berubah mendukung perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin termasuk diusahakan kumpulan atau negara-negara Islam.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi memberitahu, bahkan dalam sejarah terdapat pemimpin-pemimpin PAS yang pernah berjihad di bumi Palestin pada peperangan tahun 1948.

“Kalau tak silap saya antaranya ialah Prof Dr Burhanuddin al-Helmy. Menunjukkan bahawa isu Palestin dengan perjuangan Islam PAS ini adalah satu pertalian yang begitu utuh sejak daripada dahulu lagi. 

“Justeru kita tidak pelik di mana setiap kali Muktamar Tahunan PAS, maka akan ada usul antarabangsa, yang mesti ada usul pembebasan Baitul Maqdis, untuk kita ingatkan ahli-ahli PAS dan umat Islam.

“Bahawa isu pembebasan Baitul Maqdis adalah isu utama kepada umat Islam. Sebab itulah kita mendukung mana-mana pihak yang berusaha untuk membebaskan bumi Palestin daripada kalangan kumpulan-kumpulan Islam dan negara-negara Islam. 

“Daripada kalangan kumpulan-kumpulan Islam, HAMAS yang ditubuhkan pada 1980-an, Jihad Islami sebelum daripada itu dan lain-lain lagi kita menyokong dan mendukung perjuangan ini,” ujar beliau.

ADUN Batu Buruk itu menegaskan perkara tersebut ketika bersiaran langsung dalam slot Serambi Dunia Islam membicarakan ‘Perkembangan Terkini Serangan Iran Ke Atas Israel’, malam tadi.

Menurut beliau, perjuangan oleh HAMAS dan Jihad Islami serta negara-negara terlibat adalah sah di sisi syarak dan undang-undang di mana PAS tidak mengikut naratif dibawa Barat yang melabelkan kumpulan berkenaan sebagai pengganas.

Katanya, kumpulan tersebut berjuang di atas dasar mengembalikan hak yang betul dan dijamin oleh undang-undang antarabangsa, termasuk tindakan Republik Islam Iran menyokong dan mendukung kumpulan-kumpulan itu.

“Ini adalah satu tindakan yang betul di sisi syarak dan betul di sisi undang-undang. Jika sekiranya pihak di sana (Israel dan sekutunya) mempersoalkan kenapa Iran sokong HAMAS dan Jihad Islami?

“(Maka) kenapa tidak dipersoalkan Amerika, sokong dan dukung negara haram Israel? (Amerika) Beri bantuan ketenteraan, kewangan, politik dan lain-lain lagi,” bidasnya menghujah pertikaian itu.

Tegasnya, PAS jelas dalam isu tersebut dan berpegang bahawa tidak ada jalan lain dalam isu Palestin melainkan jihad sebagaimana ‘ittifaq’ semua ulama tanpa mengira mazhab mengenai isu tersebut.

Jelasnya, kesepakatan para ulama mengatakan bahawa mana-mana negara Islam yang dijajah dan ditakluk oleh golongan kufar, maka menjadi fardu ain ke atas umat Islam berjihad untuk membebaskan bumi ditakluk tersebut. 

Apatah lagi kata beliau, bumi tersebut adalah sangat mulia di sisi Islam di mana dalam konteks ini Palestin adalah bumi anbiya dan terletak padanya Baitul Maqdis yang merupakan kiblat pertama kepada umat Islam. 

“Maka sudah tentulah kewajipan itu lagi besar. Jadi di sini hukum jihad bagi membebaskan bumi Palestin adalah fardu ain dan inilah ‘stand’ (pendirian) yang diambil oleh PAS. Namun masing-masing mengikut keadaan dan suasana. 

“Bagi orang Palestin dengan cara mereka. Bagi kita umat Islam (di Malaysia) niat dalam hati, doa berterusan, boikot, sokongan moral, demonstrasi insya-Allah dalam masa terdekat kita akan mengadakan satu demonstrasi aman.

“Pada pada 4 Mei nanti kita (PAS) akan adakan demonstrasi aman untuk menyatakan sokongan moral kita, solidariti kita kepada saudara-saudara kita di bumi Palestin,” seru beliau untuk umat Islam Malaysia menyertainya. 

PAS juga tegasnya, menganggap tidak ada di sana negara haram Israel dan sama sekali tidak bersetuju dengan agenda ‘penyelesaian dua negara’ atau ‘two-state solution’ yang sebenarnya turut tidak dipersetujui Zionis-Yahudi sendiri.

Dedah beliau, bagi Zionis, hanya satu negara sahaja iaitu Israel Raya yang wilayahnya bukan sahaja bumi Palestin, tetapi merangkumi sebahagian besar daripada negara-negara umat Islam di Timur Tengah.

“Jadi kalau orang Islam kita duk sibuk bercakap kenapa tidak menerima ‘two-state solution’, (kerana) ini satu tindakan tidak betul. Insya-Allah kita PAS akan terus berada di saf hadapan memimpin umat Islam untuk mendukung perjuangan membebaskan Baitul Maqdis dan bumi Palestin,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/4/2024

- Advertisement -