Iran telah lama dimusuhi, ancaman kepada Israel

Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Republik Islam Iran sejak awal penubuhannya iaitu setelah berlaku revolusi pada tahun 1979 telah dianggap menjadi satu ancaman kepada usaha kewujudan negara haram Israel.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sejak itu berlaku pelbagai peristiwa penting antaranya perang antara Iran dan Iraq yang percaturannya daripada Barat khususnya Amerika Syarikat sendiri.

Terang beliau, usaha untuk menghancurkan Iran itu supaya ia tidak menjadi ancaman kepada Israel, namun perancangan mereka tidak berjaya menerusi peperangan tersebut, sebaliknya Iran terus berkembang dan membina kekuatan. 

“Adapun negara Iraq akhirnya bermusuh dengan Barat dan berlakulah Perang Teluk yang kedua. Sehinggalah kita melihat perkembangan tersebut makin hari makin memuncak seterusnya membawa kepada satu dasar dan polisi yang diambil oleh Iran.

“(Iaitu) untuk mendukung dan menyokong kumpulan yang menentang negara haram Israel; kumpulan-kumpulan yang berjuang, berjihad untuk mengembalikan semula bumi Palestin khususnya Baitul Maqdis ke tangan umat Islam,” ujarnya.

Perkara itu dikupas olehnya ketika bersiaran langsung dalam program Serambi Dunia Islam yang membicarakan ‘Perkembangan Terkini Serangan Iran Ke Atas Israel’, malam tadi.

Exco Kerajaan Negeri Terengganu itu memberitahu, berikutan Iran dianggap sebagai ancaman besar ke atas Israel, pelbagai insiden telah berlaku dan serangan ke atas Kedutaan Iran di Syria itu adalah kemuncaknya.

Jelas beliau, tindakan terkini Iran menyerang pula Israel semalam dilihat sebagai telah beralihnya daripada pertembungan proksi selama ini kepada pertembungan langsung antara Iran dan juga negara haram Israel. 

“Di mana kita melihat Iran (selama ini) menggunakan proksi-proksinya; Hizbullah di Lubnan, HAMAS dan Jihad Islami di Palestin. Di mana penggunaan ini adalah tidak salah dari segi undang-undang kerana bumi Palestin dijajah dan ditakluk. 

“Menjadi hak kepada orang-orang Palestin berjuang untuk mengembalikan hak mereka. (Apatah lagi) Israel mendapat bantuan dan dukungan daripada Amerika Syarikat dan negara-negara Barat dengan dukungan dari sudut politik.

“Setiap kali pencabulan undang-undang dilakukan Israel, maka akan diveto oleh Amerika Syarikat yang mendukung dari sudut bantuan-bantuan, ekonomi, pelaburan, kewangan, tiap-tiap tahun berbilion yang diperuntukkan.

“Dukungan dari sudut ketenteraan semua maklum segala kelengkapan senjata Amerika salurkan kepada Israel untuk menentang kumpulan-kumpulan yang berjuang yang berjihad untuk membebaskan bumi Palestin,” ujarnya.

Menurutnya, perkembangan terkini boleh memberi impak sangat besar terhadap konflik di Timur Tengah yakni membawa kepada perang serantau ataupun perang dunia memandangkan Iran negara yang sangat penting kepada geopolitik dunia.

Jelas beliau dari sudut sejarah, perkara tersebut adalah dari perkembangan selepas perang dunia kedua tamat tahun 1948 di mana Amerika dan Soviet Union menjadi kuasa besar dunia ketika itu.

Amerika terang Khalil, telah membina pengaruh di Timur Tengah dengan mendukung dua negara utama iaitu Israel dan Iran yang ketika itu berada di bawah pemerintahan Syah sebelum melalui revolusi dan terbentuknya Republik Islam Iran.

Bagaimanapun terangnya, perkembangan menjadi ancaman besar kepada Amerika dan Israel itu sebaliknya merupakan sesuatu yang sangat positif kepada perjuangan untuk membebaskan Baitul Maqdis. 

“Sekarang ini kita sedang menunggu apakah reaksi daripada negara haram Israel dan saya percaya bahawa konflik ini akan berpanjangan dan akan merebak di mana menjadi tanggungjawab kepada kita untuk mendukung apa saja usaha membebaskan bumi Palestin.

“Dan kita mestilah bersatu hati sebagai umat Islam bagi berdepan dengan cabaran yang sangat hebat ini,” seru beliau yang juga ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 15/4/2024