Khan Yunus selepas tentera Israel berundur

- Advertisement -

ORANG kita balik kampung sebelum raya. Orang Palestin balik kampung selepas raya. 

Orang kita gembira balik kampung. Dapat jumpa ibu bapa, atok, nenek. Dapat tidur di rumah kampung tradisional. Dapat mandi sungai dan pelbagai aktiviti.

Orang Palestin balik dengan titisan air mata. Menyaksikan rumah kediaman yang telah musnah. Jalan raya dibongkar. Bau mayat di sepanjang jalan. Segala kemudahan awam turut binasa. 

Inilah yang dialami oleh penduduk Khan Yunus. Selama 4 bulan mereka hidup dalam khemah dan plastik di Al Mawasi dan Rafah setelah kampung halaman mereka diceroboh pada 4 Disember 2023.

- Advertisement -

Sejak itu, selama 4 bulan penjajah melakukan segala bentuk kerosakan. Khan Yunus dicincang sehancur-hancurnya. Sekitar 70 peratus rumah kediaman dibinasakan. Sekolah, masjid, kedai, pejabat kerajaan dan lain-lain dimusnahkan dengan tembakan meriam, kereta kebal dan pesawat udara. 

Kedai-kedai dipecah dan barangan jualan dicuri. Jalan raya dikorek dan dibongkar. Kini kereta kecil tidak boleh melaluinya. Penduduk yang balik kampung hanya berjalan kaki atau menaiki kereta keldai. 

Apa dosa jalan raya itu hingga ia dimusnahkan? Adakah jalan raya itu mengancam keselamatan warga Yahudi? Segalanya dilakukan hanya kerana khianat, dendam kesumat dan segala unsur kejahatan yang berkumpul dalam urat nadi dan tubuh mereka. 

Inilah yang ditanya oleh malaikat sewaktu Allah memberitahu mahu mencipta manusia di muka bumi. Kata malaikat, “Adakah Engkau hendak menciptakan di atas muka bumi itu makhluk yang sifatnya suka melakukan kerosakan dan menumpahkan darah?” 

Malaikat dengan pengetahuan yang terhad itu mengetahui bahawa sebahagian manusia sifatnya suka melakukan kerosakan dan menumpahkan darah. Antara mereka ialah pengganas Yahudi di Palestin. Wallahu’alam.

Biarpun pihak berkuasa belum mengumumkan situasi selamat untuk mereka pulang, media melaporkan ratusan warga Khan Yunus berjalan kaki ‘balik kampung’ untuk melihat bagaimana rumah mereka. Dengan harapan dapat memperbaiki kerosakan-kerosakan dan meneruskan kehidupan seperti sebelumnya. 

Sejak awal pengunduran tentera Israel beberapa hari lalu, petugas majlis perbandaran telah mula menjalankan tugas membuka laluan dan mengalihkan halangan-halangan serta runtuhan yang menghalang lalu lintas. 

Petugas turut bekerja memperbaiki kerosakan sistem bekalan air dalam usaha untuk memulihkan semangat hidup ke bandar itu.

Seorang wanita, Muha Al Araj berkata, “Saya sangat terkejut dan sedih melihat rumah saya musnah teruk. Tidak ada dinding atau tingkap.”

Dia menambah bahawa dia akan kembali tinggal di rumah itu walaupun rosak teruk. “Walaupun ia tidak sesuai untuk hidup, tetapi ia lebih baik daripada tinggal dalam khemah. Saya lebih baik daripada jiran saya yang rumah mereka langsung tidak ada apa yang tinggal. Ke mana mereka akan pergi?” 

Di celah-celah runtuhan, terdapat mayat-mayat manusia yang dibunuh kejam dan belum sempat diselamatkan. Aktiviti menggali runtuhan untuk mencari dan mengeluarkan mayat mangsa kelihatan di mana-mana. 

Di pihak musuh, kembalinya warga Khan Yunus ke kediaman masing-masing merisaukan mereka. Media-media berbahasa Ibrani menzahirkan kebimbangan pergerakan HAMAS kembali menguasai Khan Yunus. 

Akhbar Yedioth Ahronoth melaporkan, HAMAS telah kembali menguasai Khan Yunus hanya 4 hari selepas tentera berundur. Penduduk-penduduk juga kembali ke rumah mereka yang musnah.

Pendudukan tentera selama 4 bulan di Khan Yunus dilihat gagal mencapai objektifnya.

Objektif hendak menghapuskan kumpulan pejuang, gagal. Objektif hendak membebaskan tawanan Israel di tangan pejuang Palestin, gagal. Objektif hendak menghalau dan mengosongkan Khan Yunus dari orang Arab, gagal. 

Mereka hanya berjaya merobohkan rumah, membunuh manusia dan melakukan vendalism sahaja!

USTAZ ARIS HAZLAN ISMAIL
Maran, Pahang – HARAKAHDAILY 15/4/2024

- Advertisement -