Heret Amerika terlibat perang, jadi benteng Israel

Motif di sebalik serangan Israel ke atas Kedutaan Iran di Syria

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Israel telah melakukan satu tindakan terdesak apabila menyerang Kedutaan Republik Islam Iran di Syria awal April lalu yang sebenarnya kerana kegagalan rejim Zionis itu dalam perang mereka terhadap Palestin.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata demikian ketika siaran langsung Serambi Dunia Islam membicarakan ‘Perkembangan Terkini Serangan Iran Ke Atas Israel’, malam tadi.

“(Perbuatan tersebut) menunjukkan bahawa negara haram itu kalah dalam pertembungan dengan kumpulan Islam HAMAS dan Jihad Islami selama tujuh bulan konflik tersebut berlaku. 

“Lebih daripada 33,000 nyawa umat Islam di Gaza yang mati dibunuh. Dua pertiga daripadanya adalah kanak-kanak, wanita dan orang-orang tua. Namun negara haram Israel gagal untuk menunduk dan mengalahkan kumpulan HAMAS. 

“Bahkan mereka telah mengalami kekalahan demi kekalahan sehinggalah mereka melihat bahawa tidak dapat tidak untuk menyelamatkan diri, mereka mesti melakukan sesuatu,” ujarnya yang juga ADUN Batu Buruk.

Menurut beliau, serangan daripada Iran ke atas negara haram Israel awal pagi semalam adalah rentetan pencerobohan dan pencabulan undang-undang antarabangsa dilakukan Zionis apabila menyerang Konsulat Iran di Syria pada 1 April lepas.

“Ia jelas sebenarnya melanggar undang-undang antarabangsa yang menyebut bahawa mana-mana negara yang menyerang negara lain, di situ termasuklah kaunselor, kedutaan kerana setiap negara mempunyai kaunselor dan kedutaan.

“Kedutaan tersebut adalah wakil kepada negara di negara asing. Dalam konteks ini Kedutaan Iran adalah bumi Iran. Jadi serangan negara haram Israel ke atas Kedutaan Iran di Syria seolah-olah menyerang bumi Iran itu sendiri,” ujarnya.

Pada pandangan Dr Muhammad Khalil, tindakan serangan Israel ke atas pejabat kedutaan yang terletak di Damsyik itu juga adalah untuk menarik penglibatan langsung Amerika Syarikat supaya berperang bagi pihak negara haram itu.

Kupas beliau, inilah sebenarnya sifat orang-orang Yahudi yang dilaknat oleh Allah SWT sebagaimana telah didedahkan di dalam al-Quranul Karim iaitu khususnya dinyatakan pada ayat 14 surah al-Hasyr. 

Ayat dibacakannya itu menyatakan bahawa orang-orang Yahudi tidak akan memerangi kaum Muslimin melainkan mereka berada di belakang tembok atau benteng-benteng supaya dapat berlindung di sebaliknya.

Jelasnya, tembok atau benteng itu boleh dijemahkan sebagai binaan lihat pada hari ini apabila Palestin yang dijajah dan ditakluk Zionis Yahudi dengan membangunkan halangan supaya umat Islam Palestin tidak boleh masuk.

“Juga ia boleh memberi pentafsiran secara maknawi. Tembok dan benteng yang dimaksudkan di sini ialah orang-orang mereka menggunakan kuasa-kuasa lain untuk melindungi mereka (negara haram Israel). 

“Inilah yang dilakukan oleh mereka setelah mereka gagal untuk mengalahkan (HAMAS, maka mereka mengguna benteng kuasa besar dunia Amerika Syarikat dan negara-negara Barat lain yang mendukung mereka.

“Untuk menarik supaya negara-negara ini terlibat dalam peperangan berperang bagi pihak negara haram Israel,” ujarnya membongkar rencana jahat rejim Zionis itu. – HARAKAHDAILY 15/4/2024

- Advertisement -