Pengelap kaki: Henti cabar sensitiviti umat Islam

Nurul Syazwani Noh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu menghentikan sebarang tindakan yang mencabar sensitiviti umat Islam dalam negara ini.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Srikandi BERSATU Malaysia, Nurul Syazwani Noh berkata, baru-baru ini tular memasarkan pengelap kaki bergambar Kaabah yang berlaku di Johor, yang mencetuskan kontroversi dan reaksi yang kuat daripada masyarakat terutamanya yang beragama Islam.

“Ini sudah tentu berlaku kerana kebanyakan masyarakat kita yang beragama Islam tersentuh dengan isu sebegini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, walaupun Jabatan Agama Islam Johor telah mengambil tindakan yang tegas dengan merampas barangan tersebut tetapi perkara sebegini tidak seharusnya dibiarkan untuk terus berlaku.

“Kita harus menegaskan kepada semua pihak untuk berhenti mencabar kesabaran kami dengan tidak sensitif terhadap isu-isu agama.

“Sementara, sebagai umat Islam kita harus bersatu tanpa mengira apa pun ideologi politik yang mana dahulu jarang kita mendengar tentang isu-isu yang menimbulkan kontroversi seperti ini.

“Namun, kini nampaknya ada pihak yang semakin berani melanggar prinsip tatanegara dalam menjaga sensitiviti semua kaum,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh umat Islam agar bersatu dan berdiri teguh dalam menjaga nilai-nilai keagamaan dan kebudayaan yang telah diwarisi.

Tambah beliau, semua umat Islam juga harus memastikan setiap generasi muda terutamanya Melayu Islam yang akan datang tidak terjejas dengan tindakan-tindakan sebegitu.

“Jika kita, sebagai pemimpin muda, tidak mengambil langkah untuk menghentikan hal ini, kita akan menghadapi risiko yang besar terhadap kestabilan sosial dan keharmonian antara kaum di negara ini.

“Maka, kita harus bersama-sama memastikan agar nilai-nilai saling hormat menghormati dan toleransi kekal dijunjung tinggi, untuk kebaikan bersama dan masa depan yang lebih baik bagi Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/4/2024

- Advertisement -